Sembang Kari: Harum Seharum Harum Manis… Jangan Lupa Natijah Janji Manis PH

NAMPAKNYA semacam pancing pihak-pihak tertentu terhadap KP SPRM Tan Sri Azam Baki mengena. Everybody now jump into the fray. Pelbagai pihak menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berundur dan mahu independent enquiry dijalankan.

Tan Sri Azam Baki sudahpun ambil tindakan saman terhadap pihak yang mendakwa kononnya beliau memiliki saham bernilai jutaan ringgit. Dalam hal ini pemilik akaun Twitter Lalitha Kunaratnam bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) (pengamal investigative journalism) menjadi defendan.

Tokoh paling obses berhubung isu terbaharu SPRM ini adalah Pengerusi Dap Lim Kit Siang. Tindakan Kit Siang ini dibidas oleh Bossku “>Datuk Seri Najib Razak dalam hantaran FBnya pada 5 Januari 2022.

Beliau persoalkan kenapa hanya isu saham dalam akaun KP SPRM sahaja yang diasak oleh Lim Kit Siang, tidak hal-hal lain yang babitkan isu lebih besar pada Oktober 2021 iaitu saksi utama SPRM, taikun syarikat bagi kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang babitkan Lim Guan Eng, tiba-tiba jatuh bangunan 17 tingkat sebulan sebelum dijadual untuk beri keterangan di mahkamah?

Begitu juga pada November 2021 Lim Kit Siang tidak bersuara tentang baki RM65 juta (daripada hampir sejumlah RM700 juta) dibayar Jho Low ke dalam akaun suami Tan Sri Zeti Aziz bekas Gabenor Bank Negara yang telah dikembalikan oleh Singapura kepada kerajaan Malaysia seperti yang dimaklumkan oleh SPRM.

Apabila Tan Sri Tommy Thomas bekas Peguam Negara mendedahkan yang dia sudah lama tahu Tan Sri Zeti Aziz dan suaminya Datuk Tawfiq Ayman berperanan dalam memudah cara bagi pihak Jho Low tapi tidak pernah ambil tindakan terhadap kedua-duanya, Lim Kit Siang juga diam membisu.

Sebaliknya apabila timbul sahaja isu berhubung pemilikan saham yang kononnya membabitkan Azam Baki, Kit Siang terus melompat dan bersilat.

Agensi seperti SPRM, PDRM, Imigresen dan Kastam adalah antara yang kerap terdedah kepada serangan berkait rapat integriti, ketelusan, kecekapan dan salahlaku oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu.

Berita-berita sekitar 2015 menyentuh bekas KP SPRM, Tan Sri Abu Kasim Omar. Datuk Dzulkifli Ahmad yang menggantikan Tan Sri Abu Kasim pada 1 Ogos 2016, Datuk Mohamad Shukri Abdul yang dilantik menjawat jawatan itu pada 17 Januari 2018 dan Latheefa Koya ahli politik PKR yang juga seorang peguam diangkat mengepalai SPRM pada 1 Jun 2019 sehingga tempoh peletakan jawatan beliau pada 6 Mac 2020.

Begitu juga berita-berita berhubung kontroversi ahli Lembaga Pengarah Anti Rasuah SPRM (ACAB), Tan Sri Rashpal Singh; Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin; Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rozaid Yaakob dan yang paling mengejutkan tentang Teo Beng Hock Exco Kerajaan Negeri Selangor saksi SPRM berhubung kes salahguna peruntukan negeri itu yang diperintah Pakatan Rakyat. Beng Hock mati setelah jatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.

Isu 1MDB dengan pendedahan rakaman perbualan Bossku selaku bekas Perdana Menteri, Najib dengan isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang dalam tuduhan rasuah berkaitan isu pembelian banglo yang menyebabkan pihak SPRM dan seluruh negara terkejut.

Begitu pula kes terowong bawah laut Pulau Pinang yang melibatkan Lim Guan Eng dan kejadian seorang saksi SPRM bagi kes itu yang jatuh dari bangunan setinggi 17 tingkat. Isu-isu ini secara tidak langsung mengheret SPRM ke kancah kontroversi yang berpanjangan.

Semua ini akhirnya menjadi material yang dimanipulasi pihak-pihak tertentu untuk menyerang kredibiliti agensi-agensi penting kerajaan dan seterusnya melemahkan mereka. Natijah dari itu government of the day yang akan merasa tempiasnya dan silap langkah boleh ‘doomsday’ seperti yang pernah dialami oleh kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 lalu.

Nampaknya senario semasa berhubung SPRM dengan ditambah pula huru-hara disebabkan kejadian banjir akhir-akhir ini di banyak negeri dengan Selangor menjadi fokus utama boleh sahaja menjejaskan kepercayaan umum ke atas kepimpinan kerajaan sekarang.

Kesannya amat besar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Semua telunjuk menuding ke arah beliau. Seolah-olah episod “kerajaan gagal PM Gagal 2” akan berulang pula. Kalau dulu terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin Perdana Menteri ke 8, kali ini pastinya sudah dapat diagak siapa yang bakal kena.

Ini semua tidak mesra kepada imej UMNO dan Barisan Nasional yang mendukung kerajaan Keluarga Malaysia. Parti-parti lain yang lebih bersifat penumpang pula tidak banyak membantu untuk meredakan keadaaan sebaliknya menjadi penyumbang kepada kemelut ini. Janganlah dahulu darurat sekarang mudarat.

Walaupun banyak pihak kata nasib PM yang juga Naib Presiden UMNO kini ibarat telur di hujung tanduk dengan siri-siri pembantaian imejnya menjelang PRU15 semakin memuncak, semua pihak dalam UMNO harus berlaku adil. Kena bertindak ikut pepatah “ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung jangan berselerak”.

Pastinya akar umbi mahu semua berjalan baik tanpa mencederakan kepimpinan PM malahan turut tidak mencalarkan imej UMNO.

Waima apa sekalipun yang berlaku yang penting akhirnya UMNO dan Barisan Nasional jualah muncul pemenang selepas berakhirnya PRU15 nanti. Biarlah siri-siri kejayaan di sepanjang pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri tempohari terus harum seharum harum manis tanpa lupa natijah janji-janji manis PH yang membebankan rakyat hari ini.

Ben Jonaid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.