Jumaat, 3 Dis Cuti Bagi Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA, 1 Dis – Jumaat (3 Dis) diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan susulan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul kejuaraan Piala Malaysia, umum Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini.

Dalam sidang media khas di sini, beliau berkata pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Wilayah Persekutuan.

“Kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia dengan kali terakhir kemenangan pada 1989,” katanya.

Ditanya mengenai imbuhan kepada pemain KL City FC, Shahidan berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa menerima kekalahan 0-2 di tangan KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi Harimau Selatan itu pada 2019. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit