Kerajaan Sarawak Proaktif Dalam Soal Penyediaan Perumahan Rakyat – Reezal Merican
Beliau berkata program dan skim perumahan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak seperti Program Perumahan Spektra Permata, Program Pinjaman Rumah Panjang dan Skim Bantuan Rumah Sewa membantu rakyat yang memerlukan untuk memiliki perumahan awam.
“Mereka yang terkesan akan dibantu melalui program sewaan rumah dan KPKT mengambil kaedah kerajaan negeri ini untuk diusulkan di peringkat Persekutuan dalam usaha untuk memudahkan rakyat dalam pemilikan perumahan.
“Yang paling mengembirakan saya adalah Belanjawan Sarawak yang telah mengumumkan bantuan Skim Deposit Perumahan sehingga RM10,000 untuk pembeli rumah pertama bagi mendapat pembiayaan rumah dengan lebih mudah,” katanya pada sidang sedia media Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam (PPAM) di IKE Village di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib.
Terdapat enam projek PPAM di Sarawak dengan masing-masing dua di Kuching dan Miri serta masing-masing satu di Sibu dan Kota Samarahan yang keseluruhannya mempunyai 1,595 unit kediaman.
Reezal Merican berkata bagi mengelakkan ketidaksepadanan di antara permintaan dan penawaran rumah di bawah projek perumahan kendalian kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, KPKT akan meneliti keadaan semasa dalam model pembangunan perumahan.
“PPAM akan diteruskan, model pembangunan dan pembiayaan PPAM ini saya akan lihat semula, tanpa perlu memberikan tambahan dan tekanan melalui program MyHOME dan MyDEPOSIT 2.0 yang sedang diusul dan dibahas pada sidang Parlimen kali ini.
“Dalam kaedah 2.0 ini, kementerian akan melihat secara lebih strategik, terutamanya dalam penggunaan tanah iaitu land swap (pertukaran tapak tanah),” katanya.
Sehingga kini, sejumlah 273 projek PPAM telah diluluskan di seluruh negara dengan 162 daripadanya telah siap, 66 lagi masih dalam pembinaan dan 45 projek dalam perancangan. – BERNAMA