Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar Satu Lagi Langkah Ke Belakang Ulangi Episod GST

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar seumpama langkah terkebelakang seperti mana penghapusan cukai Goods And Services Tax (GS).

Sedangkan menurut beliau kedua-dua perkara berkenaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini adalah untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Kesan penyebaran berita tidak benar adalah memudaratkan masyarakat umum. Sebab itulah kita mesti mempunyai perundangan untuk memastikan hak dan kepentingan masyarakat umum terjaga.

“Dan kita mesti menyekat kumpulan kecil yang boleh merosakkan keamanan ini. Sebab itulah Akta Antiberita Tidak Benar diperkenalkan. Akta ini ditekankan berita palsu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang – Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar ( Pemansuhan ) 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Ismail Sabri lagi sejak Akta Antiberita tidak benar ini diperkenalkan sehingga ke hari ini hanya satu kes sahaja yang melibatkan Salahzaman Mohd Noor, warganegara Denmark kerana menyebarkan berita palsu yang mengatakan Polis datang lewat di lokasi pembunuhan.

“Itu sahaja…tidak ada satu kes pun melibatkan ahli pilitik yang dikenakan tindakan menerusi undang-undang ini. Jadi andaian mengatakan undang-undang ini untuk menyekat kebebasan pembangkang dahulu bersuara adalah tidak benar,” ujarnya.

Katanya lagi sebelum pilihan raya umum lalu pelbagai berita palsu dan fitnah yang disebarkan yang kadang-kadang boleh menyebabkan berlaku pelbagai perkara dan sebagainya.

“Jadi sebab itulah adanya akta untuk kita pertahankan kepentingan rakyat di peringkat umum dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi negara lain juga memperkenalkan akta terbabit dan pada masa yang sama beliau menyatakan kehairanan apabila negara-negara maju di dunia memulakan undang-undang ini tetapi di Malaysia adalah sebaliknya.

“Kita pula undur ke belakang. Saya bagi contoh Jerman, UK membentuk jawatankuasa parlimen untuk mengkaji mewujudkan undang-undang berita palsu ini. Vietnam dalam proses rundingan awam dan sebagainya lagi. Begitu juga Singapura dalam proses untuk memperkenalkan perundangan baru tentang berita palsu ini.

“Jadi saya lihat di Malaysia ini dibawah kerajaan baru kita ‘reverse’. Orang berjalan ke depan kita berundur ke belakang. Samalah halnya dengan GST. Seluruh dunia ada 170 negara yang mengamalkan GST dan tidak ada satu pun yang pusing ke belakang memperkenalkan SST,” ujarnya. -MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit