Arman Azha Angkat Sumpah Senator Hari Ini
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau adalah lantikan baharu yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa hari ini hingga 25 Okt 2024.
Upacara berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.
Arman Azha, 46, berkelulusan Sarjana Sains Politik dari Geomatika University College, Kuala Lumpur merupakan Pengarah Asia Coding Centre Sdn Bhd.
Pada sidang media selepas majlis itu, Arman Azha menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu peluang dan ruang untuk pemimpin muda menjadi sebahagian daripada pembahas dasar-dasar negara.
Menurut Arman Azha, beliau mempunyai tiga agenda iaitu memperjuangkan kepentingan masyarakat daripada segi ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat dalam bandar.
“Saya merupakan seorang daripada pemimpin muda dari bandar, tujuan dan perjuangan saya sudah pasti untuk memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam bandar… dalam bandar perjuangan rakyat amat berbeza berbanding perjuangan di luar bandar,” katanya.
Terdahulu, Rais ketika berucap berharap Arman Azha dapat menggalas tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang dilafazkan dengan penuh amanah.
“Sementara kita berada di luar sana, harus kita lihat semula apakah erti sumpah itu. Pada hemat saya, dari segi Perlembagaan dan undang-undang negara, sumpah itulah yang menjadi jendela kepada rule of law atau kesungguhan dan martabat undang-undang yang tertinggi.
“Selaku Ahli Dewan Negara yang paling bongsu, sukalah saya memperingatkan bahawa tatakelakuan, tutur kata dan penglibatan aktif kita semua di Dewan ini mahupun di luar sana sedang dinilai dan diperhati oleh masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Rais berkata Dewan Negara sedang menyusun senarai tugas yang dipikul senator untuk diteliti dan dijadikan bahan rasmi dalam proses menentukan peranan serta tanggungjawab sebagai Ahli Senat.
“Rakyat akan menghakimi kita semua dan Dewan Negara jika kita gagal melaksanakan peranan sebagaimana sepatutnya, justeru pakarilah (menjadi pakar) setiap bidang sesuai dengan pelantikan Yang Berhormat sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan (Keanggotaan Dewan Negara),” katanya. – BERNAMA