Pahang Lulus Tanah Untuk Taman Kekal Pengeluaran Makanan Ke-19
KUANTAN, 13 Okt – Kerajaan Pahang meluluskan tanah seluas 90 hektar di Tanjung Putus, Kuala Kuantan di sini untuk dibangunkan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan peserta dipilih daripada belia dan golongan B40.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tanah tersebut melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri yang diluluskan untuk projek tanaman sayur dan tanaman kontan.
“Peserta belia yang akan dipilih untuk mengusahakan tanah itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun yang mempunyai sijil, diploma atau ijazah dalam bidang pertanian atau yang bersesuaian.
“Bagi kategori B40, ia melibatkan peserta antara 23 dan 50 tahun dengan setiap peserta akan diberikan keluasan minimum 0.4 hektar atau maksimum satu hektar,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata kelulusan membangunkan tanah itu sebagai TKPM dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hari ini, dan akan menjadi TKPM ke-19 di Pahang.
Secara keseluruhan, jumlah tanah TKPM di Pahang ialah 5,282.85 hektar atau bersamaan kira-kira 6,860 padang bola sepak, yang diharapkan akan menjadikan Pahang sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di Malaysia. – BERNAMA