Lembah Klang, Melaka Beralih Ke Fasa Tiga, Kedah Ke Fasa Dua PPN Mulai 1 Okt
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka akan beralih ke Fasa Tiga dalam Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa 1 Okt ini.
Kedah pula akan beralih ke Fasa Dua pada tarikh sama, sekali gus menyaksikan tiada lagi negeri berada di Fasa Satu di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri berkenaan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah kini berada dalam Fasa Dua; Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak (Fasa Tiga) manakala Negeri Sembilan dan Labuan (Fasa Empat).
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19.
Beliau berkata semalam, R-naught bagi seluruh negara mencatatkan nilai 0.88 dan kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan trend penurunan.
“Berdasarkan R-naught yang masih kekal di bawah nilai 1.0, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan COVID-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meskipun jumlah kes jangkitan harian COVID-19 menunjukkan ketidaktentuan,” katanya.
Menurutnya, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin setakat semalam.
PICK Remaja (PICK Remaja) juga mendapat sambutan menggalakkan apabila sehingga kini mencatatkan 1,217,386 dos vaksin diberikan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun.
“Perkembangan ini selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan,” katanya.
Bagi pergerakan rentas negeri, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membenarkannya apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti yang diumumkan beliau pada 22 Sept lepas.
Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama, katanya. – BERNAMA