Dewan Rakyat: Azalina Bangkit Isu Mahkamah Khas Kanak-Kanak
Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) menegaskan mahkamah khas itu perlu dilaksana bagi memastikan privasi golongan bawah umur dijaga dalam proses perbicaraan menuntut keadilan.
“Anak-anak (terlibat) dengan jenayah seksual tapi masuk (dibicara) ke mahkamah jenayah biasa…mereka keluar masuk mahkamah dan dah besar, siapa nak jadi saksi…mereka rasa malu.
“Sebab itu kita minta adakan mahkamah khas, bilik saksi khas dan ada pendekatan khas…ini anak-anak yang menjadi mangsa.
“Dalam keadaan COVID-19, berapa ramai anak-anak jadi mangsa dera di rumah dan jadi mangsa jenayah nak dibawa ke mana?,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, ketika bangun mencelah perbahasan itu Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) turut senada dengan Azalina selain berharap agar Kementerian Pendidikan turut memberi perhatian kepada langkah-langkah pencegahan gangguan seksual melibatkan kanak-kanak di sekolah.
Azalina juga mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan rayuan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
“Berlaku adillah kepada semua…jika (anak kepada) ibu (warganegara berkahwin dengan warga asing) tak boleh (anak diberi kewarganegaraan), bapa (kahwin dengan warga asing) juga jangan diberi…kenapa ibu tak boleh tapi ayah boleh?,” katanya.
Pada 24 Sept lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Kabinet bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kewarganegaraan automatik. – BERNAMA