Kerjasama UMNO-Pas Belum Termeterai Sepenuhnya, Islam dan Bumiputera Perlukan Perlindungan
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – UMNO akan terus mengambil sikap terbuka dan pragmatik untuk meneroka rekayasa perjuangan rakyat kerana rakyat memerlukan perlindungan daripada corak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang banyak dikuasai sosialis Dap khususnya bagi bumiputera dan umat Islam pada keseluruhan, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, kerjasama UMNO-Pas mula meniti di bibir sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis terutama apabila Pas bersetuju tidak meletakkan calonnya dan ramai membuat andaian bahawa calon Barisan Nasional (BN) akan mendapat jumlah undi bersamaan dengan jumlah yang diperolehi UMNO dicampur jumlah undi diperolehi Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, iaitu kira-kira 18,000 undi.
“Taiko dan ‘mastermind’ PH, Lim Kit Siang, dengan cepat mengambil kesempatan menanam hasutan, malah cuba menggunakan analogi Islam dan kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, ramai, termasuk pemimpin UMNO, yang tidak tahu apa sebenarnya bentuk kerjasama yang dicapai oleh kedua-dua UMNO dan Pas.
“Sebenarnya kerjasama kedua-kedua parti masih di peringkat terlalu awal tetapi sangat penting dan PRK Sungai Kandis bukan kayu pengukur kerjasama ini.
“Ini kerana persetujuan hanya tercapai di peringkat persefahaman meletakkan satu calon, tetapi daripada segi gerakan, kempen dan lain-lain belum termeterai, malah pemimpin kedua-dua parti belum bersetuju untuk berkongsi pentas atau menyelaraskan jentera kempen.”
Dalam kata lain terangnya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, kedua-dua parti belum bergerak sebagai satu badan seperti mana PH bergerak.
“Ruang untuk kerjasama sebenar masih terbuka luas dan belum teruji namun ia akan terus diusahakan untuk memantapkan perjuangan rakyat,” katanya lagi. – MediaUMNO