RM4.67 Juta Jadi RM1,000: Siapa Pula Bela Nasib Rakyat Biasa?

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Isu kelulusan pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran asal kira-kira RM4.67 juta, kini mencetuskan persoalan lebih besar mengenai prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengerusi Putera UMNO Wilayah Persekutuan, Putera Amirul Ilhan Mohd Hasni, berpandangan bahawa perkara tersebut perlu dijadikan titik tolak untuk kerajaan menjelaskan dasar serta kriteria pemberian pertimbangan khas dalam urusan pembaharuan pajakan dan penetapan premium tanah.

Menurut beliau, pihaknya menghormati keputusan kerajaan untuk memelihara institusi warisan yang mempunyai nilai sejarah dan kepentingan kepada masyarakat. Namun, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah sejauh mana prinsip pertimbangan yang sama turut dapat dirasai oleh rakyat lain yang berdepan isu pemilikan tanah, pembaharuan pajakan dan kesinambungan hak keluarga.

“Persoalannya bukan mengapa sebuah institusi diberikan pertimbangan, tetapi bagaimana pula nasib rakyat biasa yang sudah berpuluh-puluh tahun menetap di atas tanah mereka sendiri?

“Adakah keluarga yang mewarisi tanah turun-temurun, masyarakat kampung tradisional dan pemilik tanah kecil turut mempunyai ruang untuk mendapatkan pertimbangan yang adil?” katanya menerusi kenyataan berkaitan hal tersebut.

Putera Amirul Ilhan menegaskan bahawa pemeliharaan warisan Kuala Lumpur tidak seharusnya terhad kepada bangunan institusi semata-mata, sebaliknya perlu turut merangkumi kampung tradisional, penempatan lama serta komuniti yang mempunyai hubungan sejarah dengan tanah mereka.

Katanya, tanah bukan sekadar aset hartanah atau angka dalam laporan penilaian, tetapi merupakan tempat keluarga membina kehidupan, mencari rezeki dan mewariskan masa depan kepada anak-anak.

“Jangan hanya kita bercakap tentang memelihara bangunan bersejarah, sedangkan nasib masyarakat yang membina sejarah dan kehidupan di Kuala Lumpur tidak diberikan perhatian sewajarnya.

“Kampung tradisional Melayu, penempatan lama dan keluarga yang sudah beberapa generasi menetap di ibu kota juga mempunyai nilai sejarah, sosial dan kemasyarakatan yang perlu dihormati,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang dasar pembangunan semula, pembaharuan pajakan atau penetapan premium tanah perlu mengambil kira kesan langsung terhadap kehidupan penduduk, khususnya golongan yang mempunyai kemampuan kewangan terhad.

Lebih membimbangkan, katanya, isu tanah turut memberi kesan langsung kepada masa depan generasi muda Kuala Lumpur yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup, harga rumah dan cabaran memiliki hartanah.

Menurut beliau, sekiranya persoalan kesinambungan hak terhadap tanah keluarga tidak ditangani secara menyeluruh, generasi muda berisiko semakin terpinggir daripada bandar yang menjadi tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan.

“Kita tidak mahu anak muda Kuala Lumpur hanya mampu bekerja di bandar ini, tetapi tidak lagi mempunyai peluang untuk memiliki rumah, mewarisi tanah keluarga atau membina kehidupan yang stabil di sini.

“Apalah ertinya pembangunan sebuah bandar raya yang semakin moden sekiranya generasi mudanya semakin sukar untuk memiliki tempat berteduh di tanah sendiri?” tegasnya.

Beliau berkata, pembangunan bandar sepatutnya membuka peluang kepada generasi baharu dan bukannya menjadikan pemilikan hartanah sesuatu yang semakin sukar dicapai.

Dalam pada itu, Putera Amirul Ilhan menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan supaya memperjelas garis panduan penetapan premium tanah serta pertimbangan pembaharuan pajakan agar tidak menimbulkan kekeliruan atau persepsi layanan berbeza dalam kalangan masyarakat.

Antara perkara yang wajar diberikan penjelasan termasuk status kategori kegunaan tanah, nilai warisan, kepentingan komuniti, kemampuan pemilik, potensi pembangunan komersial dan impak sosial terhadap penduduk.

Beliau mengakui bahawa setiap tanah mempunyai keadaan, kategori dan tujuan penggunaan yang berbeza. Justeru, beliau tidak menuntut semua pihak diberikan kadar premium yang sama.

Namun, katanya, rakyat berhak mengetahui asas sesuatu keputusan dan memahami mengapa sesuatu permohonan diberikan pertimbangan tertentu.

“Ini bukan soal meminta semua orang membayar premium yang sama. Kita faham setiap tanah mempunyai nilai, kategori dan tujuan penggunaan yang berbeza.

“Tetapi rakyat berhak mendapat proses yang telus, alasan keputusan yang munasabah dan layanan yang saksama tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau identiti sesebuah komuniti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa isu KLSCAH tidak seharusnya dijadikan pertentangan antara kaum atau komuniti kerana setiap masyarakat yang mempunyai sejarah dan sumbangan kepada pembangunan Kuala Lumpur wajar diberikan perhatian.

Sebaliknya, isu ini perlu membuka ruang perbincangan yang lebih luas mengenai bagaimana dasar tanah bandar dapat melindungi institusi warisan, kampung tradisional, pemilik tanah persendirian dan keluarga yang telah lama menetap di ibu kota.

Beliau turut menyeru supaya suara generasi muda diberikan tempat dalam perancangan masa depan Kuala Lumpur agar pembangunan yang dilaksanakan tidak mengabaikan kepentingan penduduk asal dan generasi pewaris.

“Kuala Lumpur bukan sekadar milik mereka yang mempunyai kemampuan membeli hartanah bernilai jutaan ringgit. Kuala Lumpur juga milik keluarga yang telah lama membina kehidupan di sini dan anak muda yang mahu meneruskan legasi ibu bapa mereka.

“Jangan sampai generasi muda Kuala Lumpur hanya mampu bekerja di bandar ini, tetapi tidak lagi mampu memiliki tanah, rumah dan masa depan di tempat sendiri.
“Keadilan tanah mesti dirasai semua. Warisan perlu dipelihara, hak rakyat perlu dibela dan masa depan generasi muda tidak boleh diketepikan.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO