“Letihlah YB Hannah Yeoh! Jawapan Isu KLSCAH Dok Pusing-Pusing”

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar meluahkan rasa kecewa terhadap jawapan balas YB Hannah Yeoh berhubung isu pembayaran premium tanah sebanyak RM1,000 bagi bangunan Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) yang dikaitkan dengan nilai keseluruhan RM4.67 juta.

Menerusi kenyataannya, beliau mempersoalkan jawapan yang disifatkan tidak menjawab persoalan utama, sebaliknya mencampuradukkan isu berkenaan dengan perkara lain seperti beg-beg pasir, bazar Ramadan dan kolam takungan.

“Soalan mudah sahaja, rakyat nak tahu bagaimana pengiraan dan kriteria KLSCAH dapat keistimewaan dengan harga RM1,000,” tegas beliau.

Menurutnya, persoalan yang dibangkitkan bukan berunsur perkauman, sebaliknya berkaitan prinsip keadilan dan ketelusan dalam pemberian keistimewaan kepada organisasi yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada keistimewaan yang diberikan kepada KLSCAH boleh turut dinikmati oleh NGO berbangsa Melayu, India, Sikh dan lain-lain yang mempunyai kriteria sama.

Sebagai contoh, beliau membangkitkan Bangunan Rumah Kelab VIOBA sebagai antara perkara yang wajar dilihat dalam konteks kesaksamaan pemberian keistimewaan tersebut.

“Ini bukan isu rasis dan ini untuk mencari keadilan bagi semua bangsa yang sepatutnya dijelaskan bagaimana keistimewaan ini boleh juga dipraktik dan diberikan kepada NGO berbangsa Melayu, India, Sikh dan yang lain-lain.”

Dalam masa sama, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa UMNO dan PAS mempunyai peranan sebagai pihak semak dan imbang terhadap dasar serta tindakan kerajaan.

Beliau turut membandingkan reaksi Hannah Yeoh terhadap isu KLSCAH dengan isu perumahan Madani yang dibangkitkan YB Teresa Kok, khususnya cadangan pembinaan 17,000 unit rumah di kawasan kejiranan Bukit Jalil.

“Kenapa YB Hannah Yeoh tidak pernah melenting bila YB Teresa Kok mempertikaikan isu perumahan Madani yang diibarat seperti neraka bila 17,000 unit rumah akan dibina di kejiranan Bukit Jalil. Kenapa tidak melantun dan melenting? Sebab YB Teresa Kok dari parti DAP kan?” katanya.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai satu persoalan double standard yang perlu diberikan penjelasan.

Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar mengingatkan bahawa bangunan KLSCAH telah diwartakan sebagai bangunan warisan pada tahun 2007 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sepanjang pentadbiran BN sehingga 2018, tiada hasrat untuk menukar status kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi kerana bangunan berkenaan sudah mempunyai kedudukan sebagai bangunan warisan dan nilai sejarah di bawah perlindungan Akta Warisan Negara 2007.

Beliau turut membangkitkan kedudukan zon bangunan KLSCAH berdasarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

Mengakhiri kenyataannya, beliau sekali lagi menegaskan bahawa persoalan utama yang perlu dijawab ialah asas pengiraan, kriteria dan justifikasi pemberian premium tanah RM1,000 tersebut.

“Yang dok pusing-pusing untuk menghalalkan tindakan kenapa. Aduhh, letihlah.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO