Kecurian Kabel Lampu Jalan, Mohd Jafni Beri Amaran Tegas

JOHOR BAHRU, 13 Nov – Kecurian kabel dan peralatan elektrik yang mengakibatkan lampu jalan terpadam merupakan perbuatan jenayah yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kegiatan itu turut menyebabkan kerja-kerja pembaikan terpaksa dilakukan berulang kali, termasuk di lokasi yang telah dibaiki sebelum ini.

Menurutnya, keselamatan rakyat tidak boleh dipertaruhkan demi keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan membuat tangkapan berkaitan kes kecurian peralatan elektrik TNB di Pontian.

“Kerajaan Negeri akan bertindak tegas terhadap pelaku dengan kerjasama pihak penguat kuasa. Saya mahu usaha membanteras kegiatan ini terus dipergiat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis atau TNB.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan lokasi dan kenderaan yang dikenal pasti, sekiranya dapat
dilakukan dengan selamat.

Mohd Jafni berkata, selaras dengan agenda Maju Johor yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal dan pihak penguat kuasa akan diperkukuh.

Usaha itu bertujuan mempercepat kerja pembaikan, meningkatkan pemantauan serta membendung kejadian kecurian berulang.

“Kemudahan awam dibina untuk kegunaan rakyat. Sebarang perbuatan mencuri dan merosakkannya tidak boleh dibiarkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO