MARA Langkah Ke Hadapan, Bersama Perkukuh Ekosistem Kesihatan Negara

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberi tempoh maksimum enam bulan untuk menyiapkan kajian penubuhan Hospital MARA dengan menggembleng tenaga pakar perubatan dan bekas anak MARA dalam sektor kesihatan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu merupakan usaha membawa MARA ke tahap lebih jauh dalam industri kesihatan, bukan sahaja melahirkan tenaga profesional, malah membina dan memiliki institusi kesihatan sendiri.

“Selama 60 tahun, MARA berjaya melahirkan ribuan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan Bumiputera. Kini sudah tiba masanya MARA melangkah lebih jauh — bukan sekadar melahirkan tenaga profesional untuk berkhidmat dalam industri kesihatan, tetapi membina dan memiliki institusi kesihatan sendiri yang mampu menerajui industri tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, Hospital MARA bukan sekadar tentang pembinaan bangunan atau penyediaan katil pesakit, sebaliknya membangunkan ekosistem yang menghubungkan pendidikan perubatan, latihan kepakaran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi, penyelidikan serta keusahawanan dalam satu rantaian nilai ekonomi yang lengkap.

“Kita mahu Bumiputera bukan sahaja menjadi pemain dalam industri kesihatan, tetapi turut menjadi pemilik, pencipta teknologi, peneraju penyelidikan dan penggerak ekonomi. Pada masa yang sama, perkhidmatannya terbuka untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan MARA telah membuka operasi Pusat Dialisis pertama di TVETMARA Ledang yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan dialisis kepada masyarakat, malah berfungsi sebagai pusat pembelajaran bagi pelajar mempelajari penyelenggaraan dan pembaikan mesin dialisis.

Beliau berkata, MARA turut merancang memperkenalkan Uni Dialisis Centre di seluruh negara, sebagaimana rangkaian Uni Klinik, Uni Farmasi dan Uni Dental yang mempunyai 168 cawangan sedia ada.

“Insya-Allah MARA akan memperkenalkan Uni Dialisis Centre di seluruh negara sebagaimana 168 cawangan Uni Klinik, Uni Farmasi dan Uni Dental yang sedia ada. Usahawan yang berminat boleh berhubung dengan MARA nanti,” katanya.

Dalam pada itu, MARA DTEC diharap menjadi langkah bermakna dalam merealisasikan aspirasi National Biomedical & Smart Health Excellence Hub (NBioSH Hub) 2025–2035 serta memperkukuh ekosistem teknologi kesihatan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO