JETP Tangkak Fokus Perkukuh Ekonomi, Pastikan Rakyat Nikmati Manfaat
TANGKAK, 25 Sept – Projek-projek di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) bagi Daerah Tangkak perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan peningkatan pendapatan yang dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat.
EXCO Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata perkara itu antara perkara yang diberi perhatian dalam sesi taklimat dan perbincangan berkaitan projek-projek JETP Tangkak bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Katanya, JETP merupakan sebahagian daripada agenda Maju Johor 2030 bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi di semua daerah negeri ini, dengan Tangkak diberi hala tuju sebagai pintu masuk ekonomi utara Johor.

“Yang lebih penting ialah bagaimana setiap perancangan ini diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan rakyat iaitu peluang kerja yang lebih baik, pendapatan yang meningkat, perniagaan yang berkembang, infrastruktur yang lebih sempurna dan kawasan yang lebih berdaya maju.”
Jelasnya, empat pemacu strategik yang dibincangkan merangkumi pembangunan koridor transit dan logistik Johor Utara yang menyepadukan jaringan WCE-NSE, pengembangan kluster agro-industri untuk PKS teknologi makanan dan jentera, peningkatan PKS hijau dan digital serta pembangunan koridor Gunung Ledang-Sungai Muar sebagai destinasi eko-agropelancongan.
Selain itu katanya, sektor pertanian turut menjadi antara kekuatan utama Tangkak dengan lima kawasan sawah melibatkan 480 pesawah dan 574 hektar lot aktif, selain perancangan Smart Sawah Berskala Besar Sawah Ring–Grisek yang digerakkan secara berfasa sehingga 2030.
Menurut Mohd Jafni, transformasi sektor pertanian perlu memastikan peningkatan teknologi dan produktiviti turut membawa kepada pendapatan pesawah yang lebih baik serta masa depan pertanian yang lebih terjamin.
“Kita tidak mahu hasil pertanian rakyat hanya berhenti pada peringkat pengeluaran bahan mentah. Nilai tambah yang diwujudkan perlu memberi peluang ekonomi yang lebih besar kepada pesawah, usahawan tempatan, belia dan masyarakat di sekitar Tangkak.”
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Jafni turut menyertai lawatan kerja bersama Menteri Besar Johor ke Laman Mahkota, Tangkak bagi meninjau sendiri keadaan kemudahan serta persekitaran kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan turun padang penting bagi memastikan keadaan sebenar sesuatu kawasan dapat dilihat dan difahami dari sudut pandang rakyat yang menggunakannya setiap hari.
“Kerja kerajaan mesti bermula dengan mendengar dan akhirnya diterjemahkan kepada tindakan. Setiap pandangan masyarakat, setiap aduan dan setiap cadangan perlu menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam menentukan tindakan seterusnya.”
Katanya, pembangunan Tangkak bukan sekadar mengenai projek besar atau angka peruntukan, sebaliknya setiap usaha perlu memberi keselesaan, meningkatkan kualiti kehidupan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat setempat.
“Ukuran sebenar sesuatu pembangunan bukan berapa banyak yang kita bina, tetapi sejauh mana pembangunan itu memberi nilai dan manfaat yang dapat dirasai sendiri oleh rakyat.” – UMNO Online
