77 Tahun Pemuda UMNO Berdiri Teguh, Teruskan Perjuangan – Sollehin

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – 77 tahun Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berdiri sebagai salah satu wadah penting dalam perjalanan panjang perjuangan UMNO yang sarat dengan pengalaman, cabaran dan pengorbanan, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Menurutnya, tempoh 77 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang yang membentuk jati diri serta kematangan generasi dalam meneruskan perjuangan parti.

“Sebuah perjalanan yang panjang, penuh dengan pengalaman, cabaran dan pengorbanan. Setiap pengalaman yang dilalui hari ini mungkin kecil, tetapi ia menjadi bekalan untuk kita melangkah lebih jauh pada masa akan datang.

“Semoga di usia ke-77 ini, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terus segar dengan semangat baharu, terus relevan dengan denyut nadi anak muda dan terus menjadi barisan hadapan dalam membawa aspirasi rakyat.

“Sebagai anak muda yang turut melalui perjalanan ini, banyak perkara yang belajar. Tentang keberanian mengambil tanggungjawab, tentang pentingnya bekerja dalam satu pasukan dan tentang bagaimana untuk terus berada bersama masyarakat tanpa mengira keadaan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menjelaskan Pemuda UMNO menjadi medan terbaik untuk anak muda belajar, berkembang serta mengasah kepimpinan melalui pengalaman turun padang dan berkhidmat secara langsung kepada masyarakat.

“Pemuda adalah ruang untuk kita belajar dan berkembang. Di sinilah kita diberi peluang untuk turun padang, mendengar suara rakyat, menyelesaikan masalah dan pada masa yang sama membina keyakinan untuk membawa amanah yang lebih besar,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, perjalanan perjuangan Pemuda UMNO bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya sarat dengan pengorbanan dan tanggungjawab yang perlu diwarisi oleh generasi hari ini.

“77 tahun perjuangan. 77 tahun pengorbanan dan perjuangan ini masih belum selesai. Terus melangkah, terus berkhidmat dan teruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Selamat Ulang Tahun Ke-77, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO