‘Kibarkan Jalur Gemilang, Semarakkan Semangat Cinta Negara’
KOTA TINGGI, 21 Ogos – Suasana di Astaka Budaya, Laman Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, pagi tadi meriah dengan kibaran Jalur Gemilang sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kota Tinggi Tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh, berkata Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain, sebaliknya merupakan lambang tanah air yang dicintai serta simbol perjuangan yang perlu dihargai oleh seluruh rakyat.

Beliau berkata, semangat mengibarkan Jalur Gemilang perlu diteruskan di mana sahaja masyarakat berada sebagai tanda rasa bangga terhadap negara.
“Di mana pun kita berada, ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Daerah Kota Tinggi yang diadakan semalam.
Menurutnya, usaha menyemarakkan kempen berkenaan juga penting dalam membentuk generasi yang mempunyai rasa cinta terhadap negara serta menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia pada hari ini.
“Biar anak-anak kita membesar dengan jiwa yang cintakan negara Malaysia dan menghargai keamanan serta keharmonian yang kita nikmati hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online
