Kemenangan Bukan Lesen Mendabik Dada, UMNO Kembali Kepada Akar Perjuangan

SIMPANG RENGGAM, 11 Ogos – Kemenangan yang diraih UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor bukan tiket untuk berasa selesa, sebaliknya satu amanah besar untuk parti kembali menghayati akar perjuangan serta terus meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Menteri Besar Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam berkata, seluruh kepimpinan dan anggota parti tidak boleh sesekali melupakan sebab UMNO ditubuhkan serta matlamat perjuangan yang menjadi asas kepada penubuhan parti itu.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam bersama seluruh kepimpinan, para perwakilan dan keluarga besar UMNO di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, pada Sabtu.

Menurut beliau, perjuangan UMNO tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kemenangan pilihan raya atau kedudukan yang dimiliki, sebaliknya sejauh mana parti terus setia mempertahankan agama, membela bangsa, menjaga tanah air dan berkhidmat kepada rakyat.

“UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal. Kita mesti sentiasa mengingati mengapa parti ini ditubuhkan dan untuk siapa kita berjuang.

“Perjuangan ini adalah demi mempertahankan agama, membela bangsa, menjaga tanah air serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.”

Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan yang diberikan rakyat kepada UMNO dan BN Johor bukanlah noktah kepada perjuangan, apatah lagi lesen untuk mana-mana pemimpin mendabik dada.

Sebaliknya, katanya, semakin besar kepercayaan rakyat diberikan, semakin besar amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seluruh kepimpinan parti.

“Jangan sesekali kita lupa bahawa jawatan hanyalah pinjaman dan kuasa adalah amanah.

“Apabila rakyat memberikan kepercayaan, kita wajib membalasnya dengan kerja, khidmat dan bakti. Jangan sampai kemenangan membuatkan kita lupa siapa yang memberikan kemenangan itu kepada kita,” katanya.

Tegasnya, kekuatan UMNO tidak terletak pada jawatan, kedudukan atau kuasa semata-mata, tetapi pada kesediaan setiap anggota untuk terus turun ke akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.

Dalam masa sama, Onn Hafiz merakamkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh keluarga besar UMNO Bahagian Simpang Renggam serta UMNO Johor atas komitmen dan semangat juang yang terus dipamerkan.

Katanya, kekuatan yang ditunjukkan oleh seluruh anggota membuktikan bahawa UMNO masih hidup, masih bernyawa dan masih mempunyai masa depan.

“Kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesediaan setiap ahlinya untuk terus bekerja, berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

“Kalau kita mahu UMNO terus kuat, kita mesti kuatkan semula hubungan dengan rakyat. Kita mesti kembali kepada asas perjuangan dan memastikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan anggota UMNO agar menjadikan perjuangan sebagai amanah yang dipikul dengan penuh keikhlasan, bukannya medan mengejar kepentingan peribadi.

Menurut beliau, kesatuan hati dan keikhlasan dalam perjuangan amat penting bagi memastikan UMNO terus teguh menghadapi cabaran serta kekal menjadi wadah yang membawa suara dan aspirasi rakyat.

“Semoga Allah SWT memelihara perjuangan ini, menyatukan hati kita dan membimbing setiap langkah agar sentiasa berada di landasan yang benar.

“Selagi perjuangan ini berpaksikan keikhlasan dan kepentingan rakyat, kita akan terus teguh membawa amanah demi agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO