Keputusan Tidak Rasmi PRN NS: Dr Asyraf Umum BN/PN Menang Di 25 Kerusi DUN, Boleh Bentuk Kerajaan

SEREMBAN, 1 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) setakat jam 8.32 malam ini menang dan sedang mendahului di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi di Command Centre BN di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, malam ini.

BN memperolehi 18 DUN dan PN (7 DUN) sudah boleh menubuhkan Kerajaan Negeri Sembilan dengan dua pertiga majoriti.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini diadakan bagi memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.

Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup pada jam 6 petang bagi membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sebanyak 65.38 peratus atau 562,133 daripada keseluruhan 859,760 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat jam 4 petang hari ini.

PRN kali ini menyaksikan keseluruhan 103 calon sah bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan pertandingan tiga penjuru di 21 kerusi DUN, diikuti 11 kerusi dua penjuru, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.

Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon di kesemua DUN, diikuti BN 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.

Manakala masing-masing seorang calon bagi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN mengadakan persefahaman kerjasama dengan PN bagi merampas kerajaan negeri yang sebelum ini di bawah PH. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO