Kempen Matang: Mohd Zaidi Gesa PH Cermin Diri
SHAH ALAM, 28 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain, menyambut baik gesaan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, agar semua parti politik menjalankan kempen secara matang, berasaskan fakta dan tidak menyebarkan fitnah.
Menurut beliau, prinsip kempen matang wajar diterapkan oleh semua pihak tanpa mengira parti politik, termasuk dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, usaha mematangkan budaya politik tidak boleh hanya ditujukan kepada parti lawan, sebaliknya perlu dimulakan dengan keberanian menegur penyokong serta pemimpin sendiri sekiranya berlaku penyebaran maklumat yang tidak tepat, permainan persepsi atau amalan politik dua darjat.
“Jika benar mahu bercakap mengenai kematangan politik, hentikan budaya melabel pihak yang berbeza pandangan sebagai ekstrem, hentikan penyebaran maklumat yang mengelirukan rakyat dan jangan berdiam diri apabila fitnah dilakukan oleh pihak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaidi turut berpandangan bahawa rakyat kini lebih mengutamakan penyelesaian terhadap isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian berbanding retorik politik.
Katanya, antara perkara yang menjadi keutamaan rakyat ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, kemudahan awam serta jaminan masa depan generasi muda.
Beliau menegaskan bahawa pilihan raya seharusnya menjadi medan untuk parti-parti politik membuktikan rekod pencapaian, kredibiliti dan keupayaan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya sekadar bersaing melalui slogan.
Dalam masa sama, beliau berkata Barisan Nasional (BN) akan terus menawarkan pendekatan politik yang bertanggungjawab, berteraskan fakta serta menghormati kebijaksanaan rakyat dalam membuat pilihan.
Menurutnya, pengundi mampu menilai perbezaan antara parti yang hanya mengemukakan retorik dengan parti yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menjadikan tiga prinsip sebagai asas kepada kempen pilihan raya, iaitu bercakap benar, berhujah dengan fakta dan menghormati kebijaksanaan rakyat. – UMNO Online
