Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Bemban, Medan Santuni Masyarakat
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban merupakan medan untuk menyantuni dan menghargai setiap lapisan masyrakat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan beliau telah berkesempatan untuk berkunjung ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pondok Kempas pada Khamis.

“Kunjungan ke PAWE Pondok Kempas pada petang Khamis meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat saya bersama barisan pimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
“Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Bemban kali ini bukan sekadar persinggahan, tetapi medan untuk menyantuni, mendengar dan menghargai setiap lapisan masyarakat.
“Melihat sendiri warga emas di PAWE aktif dengan pelbagai program membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menyumbang, berkongsi pengalaman dan menjalani kehidupan yang bermakna,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka turut menyampaikan sumbangan kepada PAWE dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia.

“Sebagai tanda sokongan, Kerajaan Negeri telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada PAWE Pondok Kempas bagi membantu pelaksanaan aktiviti warga emas.
“Pada masa yang sama, golongan wanita turut disantuni menerusi sumbangan RM8,000 kepada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia sebagai usaha memperkukuh peranan serta pembangunan wanita dalam komuniti.
“Saya kemudian minum petang sambil menyantuni warga emas di Warung Jalil Kampung Ulu Duyung.
“Inilah roh Melaka Sayang Rakyat. Sebuah pentadbiran yang tidak hanya hadir ketika diperlukan, tetapi sentiasa bersama rakyat dalam setiap langkah pembangunan. Insya-Allah, kita akan terus turun padang, terus mendengar denyut nadi rakyat dan terus bekerja dengan penuh amanah demi kesejahteraan seluruh warga Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online
