Gelombang Pengundi Cina Memihak Kepada BN, Isyarat Positif Menjelang 11 Julai – Ahmad Zahid

TANGKAK, 5 Julai – Gelombang sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat semakin meningkat berdasarkan kajian serta maklum balas yang diterima di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan saluran pengundian sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu merupakan petanda positif apabila semakin ramai pengundi Cina bersedia memberikan peluang kepada calon-calon BN termasuk daripada MCA dan MIC.

“Kami telah membuat kajian mengikut sambutan pengundi-pengundi di PDM dan di saluran. Kami amat sukacita kerana gelombang sokongan daripada pengundi-pengundi Cina kepada calon-calon BN itu bertambah.

“Kita memang meletakkan meletakkan calon-calon ‘underdog’ di kawasan yang mempunyai ramai pengundi Cina. Tetapi oleh kerana mereka telah melihat bahawa wakil-wakil yang terdahulu tidak memperlihatkan prestasi yang baik berbanding harapan mereka, jadi mereka memberitahu saya ‘ini kalilah beri kepercayaan kepada calon BN,” katanya kepada media sebaik selesai program ramah mesra bersama masyarakat Cina di medan selera, di sini, petang tadi.

Seterusnya Ahmad Zahid berkata, pada PRN Johor kali ini, BN menampilkan 37 calon daripada UMNO, 15 calon MCA dan empat calon MIC.

“Ertinya ada 19 calon bukan Melayu yang kita ketengahkan dan ini memberikan optik yang sangat baik untuk pengundi-pengundi Cina terhadap Barisan Nasional,” kata Presiden UMNO itu lagi.

Beliau yakin penerimaan yang semakin baik itu mampu diterjemahkan kepada sokongan pada hari pengundian, sambil berharap momentum tersebut terus kekal sehingga 11 Julai. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO