‘Seminggu Tunggu, Rupa-Rupanya Manifesto PH Hanya ‘Copy Paste’ – KJ

TEBRAU, 4 Julai – Bekas Menteri dan pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menawarkan sesuatu yang baharu kepada rakyat, malah sekadar mengitar semula janji-janji lama.

Menurut beliau, kelewatan PH melancarkan manifesto menimbulkan persoalan kerana rakyat mengharapkan satu tawaran yang segar dan realistik, namun akhirnya hanya disajikan kandungan yang sudah berulang kali didengar.

“Kerajaan PH baru hari ini (semalam) melancarkan manifesto. Kita tunggu hampir seminggu, rupa-rupanya manifesto itu hanya ‘copy paste’.

“Cerita pasal perumahan, orang muda, ekonomi, perusahaan kecil dan sederhana, … semuanya sudah pernah didengar. Kalau seminggu hanya untuk salin dan tampal manifesto dari BN, lebih baik orang Johor memilih manifesto yang original iaitu oleh BN berbanding yang ‘copy paste’,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Anak Tiram di Kota Masai, di sini malam tadi.

Beliau menegaskan kepimpinan PH ketandusan idea apabila terpaksa menggunakan dasar dan polisi yang telah dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sejak lebih empat tahun lalu.

Justeru ujarnya, rakyat Johor kini lebih matang dalam membuat penilaian dan mahukan sebuah kerajaan yang mampu melaksanakan apa yang dijanjikan, bukannya sekadar mengulangi janji setiap kali pilihan raya.

Mengulas cabaran pihak lawan yang mahu Menteri Besar Johor, Onn Hafiz berdebat, Khairy berkata tindakan tersebut hanya bertujuan meraih perhatian menjelang hari pengundian.

“Saya nasihatkan Datuk Onn Hafiz jangan buang masa. BN berada pada landasan yang baik, jadi tidak perlu melayan mana-mana individu yang dahagakan publisiti.

“Kalau benar mahu berdebat, biarlah dengan calon Menteri Besar. Jangan cabar orang yang ada mandat sedangkan diri sendiri pun tidak diberikan mandat untuk memimpin.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar. Jadi tidak timbul keperluan untuk Datuk Onn Hafiz melayan cabaran tersebut,” katanya.

Dalam masa yang sama, Khairy mengingatkan seluruh jentera dan penyokong BN agar tidak terlalu yakin meskipun momentum kempen semakin positif.

Katanya, semua pihak perlu terus bekerja keras sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan besar BN dan membentuk sebuah kerajaan negeri yang kukuh serta stabil.

“Kita tidak boleh riak dan tidak boleh takbur. Kita mesti terus bekerja sehingga hari pengundian dan pastikan BN memperoleh mandat yang kuat daripada rakyat.

“Manifesto BN bukan sekadar dokumen pilihan raya, tetapi merupakan aku janji kepada rakyat yang disandarkan kepada rekod pencapaian serta kemampuan melaksanakan apa yang dijanjikan.

“Kemenangan BN di Johor penting bagi memastikan kerajaan negeri terus stabil di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, sekali gus meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan yang sedang dinikmati rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO