Siapa Angkuh, Siapa Sombong… Siapa Bantu Kamu Tubuh Kerajaan? – Dr Asyraf Wajdi
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak pernah bersikap angkuh atau sombong, sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat termasuk membuat keputusan besar demi menjamin kestabilan politik negara.
Beliau berkata, dakwaan kononnya UMNO bersikap angkuh hanyalah persepsi yang cuba dimainkan pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Siapa sebenarnya yang angkuh? Siapa yang sombong? Siapa yang membantu kamu menubuhkan kerajaan?” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Jentera Barisan Nasional di PDM Denai, DUN Kempas, malam tadi.

Menurut Dr. Asyraf, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum lalu adalah hasil kebijaksanaan BN yang akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan negara mempunyai sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau menjelaskan bahawa ketika itu tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, menyebabkan negara berdepan situasi tergantung selama beberapa hari sebelum BN membuat keputusan menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kita jangan lupa sejarah. Ketika tiada pihak mempunyai majoriti, BN mengambil keputusan mengutamakan kestabilan negara selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Jadi jangan sesekali menuduh UMNO mengkhianati perjuangan, sedangkan kita membuat keputusan demi rakyat dan negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Johor menjadi contoh bagaimana kestabilan politik mampu diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, kerajaan negeri di bawah pimpinan BN berjaya menarik pelaburan, memperkukuh agenda Maju Johor serta meletakkan negeri itu sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia.
“Matlamat kita jelas, iaitu menggandakan pelaburan dan mewujudkan sehingga 200,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Johor. Itulah fokus kita, bukan bermain persepsi atau memfitnah pihak lain,” katanya.

Dr. Asyraf turut mengingatkan seluruh jentera BN supaya terus mendekati rakyat dengan membawa fakta serta rekod pencapaian kerajaan, bukannya membalas serangan politik berasaskan fitnah.
“Empat tahun Barisan Nasional mentadbir Johor membuktikan kita menawarkan bukti, bukan sekadar janji. Rakyat bijak menilai siapa yang bekerja dan siapa yang hanya bermain persepsi,” katanya.
Turut dihadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin; calon BN DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pulai dan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk masyarakat setempat. – UMNO Online
