‘Lebih Elok, Manis Sekiranya Dilaksanakan Juga Di Peringkat Akar Umbi’
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berpandangan kerjasama politik yang dipamerkan di peringkat kepimpinan perlu diterjemahkan sehingga ke akar umbi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata ini kerana perkara tersebut tidak berlaku di Wilayah Persekutuan apabila tiada mesyuarat atau pertemuan melibatkan pimpinan akar umbi diadakan.

Screenshot
“Namun ini tak berlaku di Wilayah Persekutuan. Selama tiga tahun, tidak ada mesyuarat dilakukan. Tidak ada penghormatan oleh Menteri Wilayah untuk menjemput pimpinan bertukar pandangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Malah Razlan memaklumkan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) atas usaha Perdana Menteri telah meletakkan syarat untuk semua parti di peringkat akar umbi bekerjasama tidak di ikuti dan dipatuhi oleh Menteri Wilayah.
Menurut beliau ini kerana apabila rakyat dipamerkan kerjasama di antara parti, mereka akan selesa kerana tidak dilaga-lagakan kerana politik.
“Bukan nak mencari salah, kena ikhlas dalam kerjasama, kena tunjukkan keikhlasan itu, kena usaha ke arah itu.
“Rakyat di bawah mahukan usaha yang memberi mereka keselesaan, ketenangan melihat kerjasama pimpinan mereka.
“Jangan kita hidangkan kepada rakyat mesej yang salah, di atas bersama namun di bawah tidak nampak kebersamaan itu disebabkan hanya satu parti membolot jawatan kemasyarakatan,” ujar beliau.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menerusi hantaran di Facebook berkata beliau “duduk semeja” dengan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang membantunya menyelesaikan masalah berkaitan Wilayah Persekutuan, antaranya pengendalian bazar Ramadan dan pembangunan Kampung Baru.
Daripada pengalaman Ahli Parlimen Titiwangsa itu, Yeoh berkata beliau belajar bahawa mendengar pandangan yang berbeza sering menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat. – UMNO Online
