Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO – Melakar Citra Wanita Sepakat
UCAPAN DASAR
DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
KETUA WANITA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG WANITA UMNO MALAYSIA 2025
“MELAKAR CITRA WANITA SEPAKAT”
15 JANUARI 2026 | KHAMIS | 8.00 PAGI
DEWAN TUN HUSSIEN ONN, WTC
BismillahirRahmanirRahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.
SALUTASI:
Yang Berbahagia Datuk Dr. Azizah binti Johor,
Pengerusi Persidangan Wanita UMNO Malaysia.
Yang Berbahagia Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan,
Pembantu Pengerusi Persidangan Wanita UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Johari Abdul Ghani,
Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)
Yang Berbahagia Dato’ Seri Norliza binti Abdul Rahim,
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia.
Yang Berhormat Senator Datuk Rosni Binti Sohar,
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Maizatul Akmam Binti Haji Alawi,
Bendahari Wanita UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Rosni Binti Zahari,
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia
Yang Berhormat Dato’ Seri Senator DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir,
Ahli Majlis Kerja Tertinggi merangkap Menteri Pendidikan Tinggi
Yang Berbahagia Datuk Mohd Ariff Bin Abdul Majid,
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Bin Mydin,
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
Barisan Exco – exco Wanita UMNO Malaysia
Ahli – ahli Yang Berhormat,
Ketua Wanita UMNO Negeri – negeri
Ketua Wanita UMNO Bahagian serta yang diraikan ,
Serikandi – serikandi Wanita Pejuang. Wakil – wakil media.
Juga mengalu – alukan kehadiran,
Saudari Tee Hooi Ling
Timbalan Ketua Wanita MCA Kebangsaan
Saudari Liew Kim Moy
Naib Ketua Wanita MCA Kebangsaan
Saudari Pee Siaw Chiu
Setiausaha Wanita MCA Negeri Wilayah Persekutuan
Y.Bhg Datin Zainon Haji Ayum
Ketua Wanita PBRS
Puan Hajah Rohani Bt Datuk Seri Syed Ibrahim
Ketua Wanita KIMMA
Puan Halima Nuriah Bt Ameer Hamza
Setiausaha Akhbar Wanita KIMMA Kebangsaan
Puan Hajah Chand
Bendahari Wanita KIMMA Kebangsaan
Puan Nor Rashidah Bee Bee
Ketua Penerangan KIMMA Kebangsaan
Puan Barakmimsha
Setiausaha Khas Wanita KIMMA Kebangsaan

Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,
Hari ini saya merasa sedikit kekok. Selama ini, nama beliaulah yang pertama saya ungkapkan dalam salutasi. Kehilangan beliau amat saya rasa rasai. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Pengerusi Tetap, Dato’ Saripah Aminah Syed Mohamad.
Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat seperjuangan, yang telah pergi mendahului kita.
Puan Seriwani Bte Sabtu
Ybhg Dato’ Zubidah Maskor
Ybhg Dr. Hajah Rozana@Ojane Bte Kamarulzaman
Puan Wan Salwati Haji Abdullah
Tidak lupa juga, kita baru kehilangan Ketua UMNO Sabah,
Datuk Seri Panglima Hj. Bung Mokhtar Radin
Semoga roh mereka dicucuri rahmat, dinaungi keampunan dan ditempat dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Kepada yang telah pergi, kita iringkan doa.
Kepada yang masih tinggal, kita teruskan perjuangan.
PENDAHULUAN
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
1.Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin-Nya, kita masih diberikan kesempatan untuk berhimpun dalam majlis yang penuh bermakna ini.
2.Sebuah majlis yang menuntut keinsafan, kesedaran dan kesungguhan kita sebagai Wanita UMNO.
3.Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada _____ perwakilan yang hadir pada hari ini. Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat kita di Sabah, yang mengikuti secara atas talian.
4.Mereka sedang berjuang menghadapi PRK Dun Lamaq dan Parlimen Kinabatangan. Kita doakan dengan penuh keyakinan, agar kedua-dua kerusi tradisi ini, terus kekal menjadi milik kita.
Sahabat-sahabat perjuangan sekalian,
5.Perhimpunan kali ini bukan perhimpunan biasa. Perhimpunan ini adalah pertemuan jiwa-jiwa kental, yang pernah menang, pernah kalah, pernah diuji, tetapi enggan menyerah.
6.Di sinilah kita menilai diri. Di sinilah kita menentukan arah. Dan di sinilah kita memilih, sama ada terus bertahan, atau bangkit semula dengan keberanian dan harapan.
7.Dalam suasana politik hari ini, kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
8.Ini bukan peringatan kosong. Ini hakikat yang menuntut kita untuk jujur kepada diri sendiri, tentang kekuatan kita, tentang kelemahan kita, dan tentang kesilapan yang tidak boleh kita ulangi.
9.Kita hadir di sini dengan satu agenda yang jelas, mengurai kemelut politik yang melanda, menilai diri dengan jujur dan mencari jalan keluar bersama.
10.Sesungguhnya, UMNO tidak pernah mati kerana kalah pilihan raya. UMNO tidak akan berkubur kerana lompat parti. Tetapi, UMNO hanya akan lumpuh jika kita berbalah sesama sendiri.
11.Hari ini saya berdiri di hadapan perwakilan, bukan untuk mengungkit luka lama, tetapi untuk menyatukan kekuatan, membulatkan tekad, dan mengingatkan kita semua pada satu hakikat, yang tidak boleh disangkal.

Dari desa sampai ke kota,
Kalimat dilaung demi bangsa,
Tidak luput sepakat kita,
Asas dibina berkat dirasa.
Dari hulu membawa ke muara,
Dari kata menyulam bicara,
Selagi sepakat di jaga bersama,
Selagi itulah teguh negara,
12.Sebelum saya melangkah lebih jauh, izinkan saya merumuskan, perjalanan ucapan dasar Wanita UMNO beberapa tahun kebelakangan ini. Kita sedar, kita tidak bercakap ikut musim, kita bergerak ikut strategi.
• 2022 – Kita bercakap tentang Setia Melangkah, Menebus Maruah. Antara intipatinya, kita terima kekalahan, tetapi kita tidak berpaling tadah. Kita memilih setia ketika orang lain memilih derhaka.
• 2023 – Meladeni Perubahan Politik
Kita menerima realiti politik baharu dengan matang, bukan dengan emosi dan merajuk.
• 2024 – Renaisans
Wanita UMNO mula membina semula struktur, disiplin dan cara kerja, demi mencipta sebuah kebangkitan.
• 2025 – Hari ini kita membawa tema Melakar Citra Wanita Sepakat.
Kita akan melangkah masuk ke gelanggang PRU16, dengan satu tekad yang tidak boleh ditawar. Dengan sepakat, UMNO mesti kembali menang, bukan sekadar bertahan.
13.PRU16 bukan sekadar satu pertandingan politik. Ia adalah penentuan masa depan negara, kelangsungan parti keramat UMNO, dan suara rakyat yang meletakkan harapan.
14.Kita perlu kembali memimpin dengan lebih baik, lebih matang dan lebih bertanggungjawab.
15.Sebab itu dalam Wanita UMNO ini, kita tidak boleh bergerak dengan suara yang bercanggah. Tidak boleh ada bisik yang memecah. Tidak boleh ada gerak yang melemahkan. Tidak boleh ada watak yang merosakkan.
16.UMNO mesti bergerak sebagai satu suara, satu tekad, satu kekuatan. Dalam Wanita UMNO, kita hanya boleh hidup dan kuat jika kita SEPAKAT.
17.Apabila kita berpecah, kesannya bukan kecil. Perpaduan negara menjadi rapuh, agama dijadikan alat politik, ekonomi rakyat terus tertekan, budaya dan bahasa dipersenda, sistem pendidikan mula dicabar.
18.Ini bukan retorik ketakutan atau keresahan. Ini realiti yang rakyat sedang rasai.
19.Jika keresahan ini tidak diurus dengan hikmah, tidak ditangani dengan empati, dan tidak dipimpin dengan ketegasan berprinsip, jangan terkejut, apabila kemarahan yang lama terpendam, tidak lagi diluahkan dengan kata-kata, tetapi diterjemahkan melalui kertas undi, yang membawa padah kepada kita.
20.Kita tidak boleh leka, kita perlu mengatur gerak, kita perlu bertindak.
21.Dan di sinilah Wanita UMNO, harus berdiri teguh sebagai suara yang menenangkan, sebagai jambatan harapan, bukan sebagai penyemarak api yang membakar masa depan.
DINAMIKA POLITIK DUNIA
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
22.Dalam perhimpunan lepas, kita sudah berbicara panjang, tentang kerancuan politik selepas PRU15. Kita sedar landskap politik sudah berubah.
23.Dengan kerajaan perpaduan yang menggabungkan pelbagai parti, kita perlu terima hakikat dengan realiti baharu ini.
24.Perubahan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Ini adalah trend global. Di seluruh dunia, era parti tunggal berkuasa penuh, sudah menjadi sejarah.
25.Lihat sahaja di Jerman, kerajaan perpaduan yang dibentuk antara SPD, Green Party dan FDP sudah menjadi norma baharu.
26.Di Belanda, kerajaan memerlukan gabungan 4 hingga 5 parti untuk membentuk majoriti.
27.Di Indonesia, Presiden Prabowo membentuk kabinet mega gabungan, melibatkan hampir semua parti utama.
28.Malah di Thailand, kerajaan perlu dibentuk melalui rundingan antara pelbagai blok politik.
29.Mengapa ini berlaku? Kerana pengundi hari ini sudah berubah. Undi mereka berpecah kepada pelbagai parti, bukan hanya satu atau dua parti besar.
30.Mereka tidak lagi melihat nostalgia dan sejarah. Mereka melihat tawaran dan masa hadapan.
31.Mereka lebih kritikal, tidak mudah percaya janji politik, dan lebih berani mempersoalkan dasar kerajaan.
32.Inilah realiti baharu politik moden. Kuasa dikongsi. Perbezaan dihormati, dan kerajaan dibentuk melalui persefahaman dan kompromi.
33.Ini bukan kelemahan sistem. Ini adalah kematangan demokrasi.
34.Di negara kita juga tidak terkecuali. PRU15 telah membuktikan tiada satu parti pun yang mampu menang secara mutlak.
35.Perikatan Nasional dapat 74 kerusi, Pakatan Harapan 82 kerusi, Barisan Nasional 30 kerusi. Semua terpaksa berkompromi untuk membentuk kerajaan.
36.Kerjasama politik sangat dinamik. Sebab itu kita perlu bijaksana dalam menjalinkan hubungan antara parti.
37.Seperti mana pesanan yang disampaikan oleh YAB Presiden, “Janganlah kita membuka pintu seluas-luasnya dan janganlah pula kita menutup pintu serapat-rapatnya.”
38.Namun begitu, saya ingin tegaskan satu perkara penting pada hari ini.
39.Menerima realiti kerjasama politik ini, bukan bermakna UMNO menerima untuk menjadi parti yang menurut. Tidak sama sekali!
40.UMNO mesti menjadi parti teras, parti yang memimpin, bukan sekadar mengikut. Kita ada sejarah, kita ada pengalaman, kita ada akar umbi yang kuat.
41.Jadi sahabat-sahabat sekalian, jangan keliru. Kerjasama politik ini bukan bermakna kita lemah.
42.Tetapi dalam pada itu, UMNO harus kembali kuat, kekal relevan, dan terus memimpin.
43.Kita mengamalkan politik matang, politik yang berani berhadapan, menetapkan garis merah, dan mempertahankan agama, bangsa dan prinsip Raja berperlembagaan.
44.Keputusan ini, bukan keputusan yang tergesa-gesa. Setiap risiko ditimbang dan setiap peluang diperhalusi.
45.Bekerjasama tidak bermaksud tunduk. Berunding tidak bermaksud menyerah. UMNO tahu garisnya, tahu prinsipnya dan tahu tanggungjawabnya.
46.Justeru, Wanita UMNO akan terus berdiri teguh dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden dalam mengemudi kerjasama politik ini.
DASAR 30 PERATUS WANITA: PERINTAH STRATEGI, BUKAN RAYUAN
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
47.Wanita bukan sekadar jentera yang digerakkan ketika pilihanraya. Wanita bukan hanya pengisi barisan ketika kempen.
48.Wanita mesti menjadi sebahagian daripada pembuat dasar. Wanita mesti menjadi penentu hala tuju. Wanita adalah tiang seri kepada kekuatan parti.
49.Sebab itu saya ulang di dewan ini sekali lagi. 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan, bukan permintaan manja, bukan rayuan emosi, dan bukan retorik persidangan.
50.Ini adalah langkah strategik memartabatkan wanita. Ia perlu bermula dari dalam parti kita sendiri.
51.Maka hari ini, saya menegaskan pendirian Wanita UMNO dengan jelas dan berprinsip.
52.UMNO perlu menetapkan sasaran minimum 30 peratus ini secara berperingkat, terancang, dan yang paling penting, DIIKAT secara rasmi dalam perlembagaan parti.
53.Pada pandangan Wanita UMNO, parti perlu meletakkan garis masa pelaksanaan dasar mengiktiraf martabat dan peranan wanita ini sebagai penggerak masyarakat.
54.UMNO adalah sebuah yang selalu ke hadapan. UMNO sentiasa bawa perubahan dan transformasi
55.Saya percaya, UMNO berani dan benar-benar serius melaksanakan agenda ini, selaras dengan perubahan semasa.
56.Dan saya yakin, apabila wanita diberi amanah, wanita akan membuktikan bahawa, kepercayaan itu bukan sia-sia.
57.Sekali lagi, saya mohon kepada kepimpinan parti, mendukung agenda ini, demi masa depan demokrasi, yang lebih matang dan seimbang.
AKTA PENDANAAN POLITIK
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
58.Dalam usaha kita hendak membina sistem politik yang adil dan matang, ianya memerlukan satu iltizam politik yang tinggi dan progresif.
59.UMNO mesti menjadi pelopor untuk pastikan Akta Pendanaan Politik segera diwujudkan.
60.Dengan akta ini:
– Setiap sen yang masuk akan direkodkan dengan jelas
– Setiap sumbangan akan didedahkan secara telus
– Setiap penderma akan diketahui identiti mereka
– Tiada lagi ruang untuk fitnah dan tohmahan!
61.Ini bukan sahaja melindungi UMNO, ini melindungi demokrasi Malaysia.
62.Ada pihak yang mungkin takut dengan Akta Pendanaan Politik ini. Takut terdedah. Takut terbongkar. Takut rahsia mereka terungkai. Tetapi bukan UMNO.
63.UMNO adalah parti perjuangan. UMNO adalah parti yang berani. Kita sudah lebih tujuh darsa warsa mempertahankan maruah bangsa dan negara.
64.Wal hasil, kita tidak akan tunduk kepada ketakutan atau keraguan.
65.UMNO sudah membuktikan kesungguhan kita untuk berubah. Kita sudah lakukan transformasi dalam parti. Kita sudah buka ruang untuk suara akar umbi.
66.Sekarang masa untuk kita buktikan kepada Malaysia, bahawa UMNO merupakan satu wadah yang berani bertindak.
67.Akta Pendanaan Politik ini nanti bukan sekadar satu undang-undang.
68.Ia adalah lambang kepada politik baharu Malaysia. Politik yang bersih. Politik yang telus. Politik yang mengutamakan kepentingan rakyat!
69.Inilah warisan yang kita mahu tinggalkan untuk anak cucu kita! Bukan warisan fitnah dan tohmahan.
70.Bukan warisan syak wasangka dan tuduh-menuduh. Tetapi warisan politik yang mulia, yang berintegriti, yang boleh dibanggakan.
PERBERDAYAAN EKONOMI – JELITA
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
71.Kekuatan ekonomi antara teras kepada kekuatan keluarga, kestabilan masyarakat dan kemajuan negara.
72.Kita tidak boleh, dan tidak harus bergantung kepada orang lain selamanya.
73.Wanita mesti berdiri atas kekuatan sendiri, dengan ilmu, kemahiran dan peluang yang adil.
74.Peluang inilah yang kita perjuangkan selama ini. Sehingga melahirkan pendekatan berani dan berwawasan melalui TVET JELITA.
75.JELITA adalah lambang penyertaan wanita, dalam kerangka pembangunan kemahiran, dan ekonomi negara yang sebenar.
76.Kita sedar wanita mempunyai banyak potensi. Banyak bakan terpendam dan kemahiran semula jadi.
77.Namun bakat ini sering terbiar, bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi kerana tiada laluan yang jelas untuk berkembang.
78.Alhamdulillah, melalui TVET Wanita JELITA, kita membuka laluan itu.
79.Kita tidak hanya melatih. Kita membina kerjaya. Kita membentuk usahawan.
80.Kita bukan sahaja mencipta kemahiran baharu, tetapi mengangkat kemahiran sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
81.Rentetan daripada kejayaan program JELITA ini, kita akan perkenalkan satu lagi inisiatif Pemberdayaan Ekonomi Wanita yang diberi nama “Center of Excellence DELIMA”.
82. DELIMA akan menjadi kerangka baharu dalam Informal Ekonomi dan Kendiri Wanita.
83.Sebuah gagasan yang menghimpunkan kekuatan, daya tahan wanita dalam membina ekonomi diri, keluarga dan negara.
84.Melalui DELIMA ini, kita akan melahirkan lebih ramai usahawan wanita.
85.Inilah perjuangan Wanita UMNO, memastikan tiada wanita yang bekerja keras, dibiarkan tanpa jaringan keselamatan dan masa depan.
86.Kita percaya, pemerkasaan wanita dalam informal ekonomi bukan sekadar isu ekonomi, tetapi ia adalah isu keadilan sosial, kesejahteraan keluarga dan ketahanan negara.
Para perwakilan sekalian,
87.Setelah kita membicarakan soal pemberdayaan ekonomi wanita melalui JELITA dan DELIMA, izinkan saya membawa sidang perwakilan kepada satu perspektif yang lebih luas, berakar daripada fitrah dan kemahiran semula jadi wanita itu sendiri, iaitu industri halal.
88.Sejak dulu lagi, wanita telah menjadi penjaga halal tanpa gelaran.
89.Dari dapur rumah tangga, dari penyediaan makanan, dari memilih bahan sehinggalah menjaga kebersihan, wanitalah yang memastikan halal ini benar-benar diyakini.
90.Sesuatu yang bermula sebagai amanah keluarga, hari ini telah berkembang menjadi sebuah industri besar.
91.Industri yang menyumbang kepada ekonomi negara dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
92.Namun harus kita akui dengan jujur, jumlah penglibatan wanita di dalam industri halal masih jauh ketinggalan.
93.Justeru itu, Wanita UMNO berpandangan sudah tiba masanya agenda Women in Halal Industry diangkat sebagai agenda strategik negara.
94.Wanita bukan sahaja perlu menjadi pengeluar, tetapi menjadi pemain penting dalam industri yang besar ini.
95.Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana telah mengangkat industri halal negara.
96.Justeru itu, Wanita UMNO mencadangkan supaya, agenda Women in Halal Industry ini dijadikan salah satu agenda utama, di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal Negara (MPIH) yang dipengerusi sendiri YAB Presiden kita.
97.Dengan pendekatan ini, industri halal tidak lagi sekadar menjana keuntungan, tetapi menjadi wahana memperkasa wanita, mengukuhkan ekonomi keluarga, dan memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia.
MENGHADAPI PRU16
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
98.Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, kita merasa terpukul dengan keputusan yang diterima.
99.Kita hanya memperolehi 30 kerusi sahaja. Ini keputusan paling rendah dalam sejarah UMNO dan Barisan Nasional.
100.Namun, jangan kita lupa untuk bersyukur. 30 kerusi ini tetap ada nilainya.
101.Terima kasih kepada rakyat yang masih memberi kepercayaan dan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
102.Kini, kita berada di persimpangan sejarah yang kritikal. PRU16 bukan sekadar pertandingan politik biasa.
103.Ia adalah penentu masa depan negara kita, masa depan anak-anak kita, dan masa depan generasi akan datang.
104.Saya ingin membawa perwakilan melihat semula prestasi kita di PRN Sabah baru-baru ini.
105.Kita hanya mampu memenangi enam kerusi sahaja. Ini bukan sekadar angka tetapi ia adalah mesej dan isyarat daripada rakyat.
106.Isyarat ini tidak boleh diambil mudah. Sokongan tidak akan datang dengan sendirinya.
107.Jika kita memilih untuk tafsir keputusan ini secara sambil lewa, maka kita sedang membuka ruang untuk kesilapan yang sama berulang pada PRU16 nanti.
108.Gelombang ini tidak boleh dibiarkan mara tanpa halangan. Ia mesti dihentikan.
109.Dan angka yang kita ada pada hari ini tidak boleh berkurang sama sekali. Kita perlu letakkan noktah dan mulakan kebangkitan.
110.Jadikanlah 30 kerusi ini sebagai pemangkin dan asas kebangkitan. Kita bukan sahaja perlu pertahankan, malah kita perlu gandakan.
111.Kita nilai semula gerak kerja kita. Kita hanya ada masa kurang daripada dua tahun. Kita tidak boleh lagi bekerja seperi biasa.
112.Kita kena sedar. Dunia politik telah berubah, kita juga perlu berubah. Medan perjuangan hari ini bukan lagi terbatas kepada pentas ceramah dan bahan cetak.
113.Politik kini adalah pertempuran persepsi, emosi, data dan kelajuan maklumat. Pendekatan baru perlu di jana.
114.Wanita UMNO mesti bersedia dengan dua kekuatan yang saling melengkapi.
115.Pertama, kekuatan heartware “kekuatan hati”, kekuatan jiwa dan sentuhan kemanusiaan. Inilah kekuatan tradisi Wanita UMNO.
116.Kerja rumah ke rumah, ziarah kasih, menyantuni ibu-ibu, keluarga dan warga emas, mendengar keluh kesah rakyat, serta menjaga emosi dan maruah mereka.
117.Pendekatan ini tidak boleh digantikan oleh teknologi. Inilah asas kepercayaan yang dibina dari hati ke hati sejak dahulu lagi.
118.Kedua, kekuatan hardware atau boleh saya sebut teknologi. Inilah realiti politik baharu yang tidak boleh kita abaikan.
119.Pengurusan data pengundi, penguasaan media digital, penghasilan kandungan yang tepat dan pantas, pemantauan fitnah, serta keupayaan tindak balas segera dalam perang siber.
120.Kita perlu pantas. Jika kita lambat, persepsi akan dibentuk oleh pihak lain. Jika kita berdiam diri, fitnah akan dianggap sebagai kebenaran.
121.Justeru, saya ingin mencadangkan, agar diwujudkan skuad khas digital sebagai barisan hadapan menghadapi peperangan di dunia siber.
122.Pasukan ini perlu dilatih menjadi jentera digital UMNO yang lengkap, dengan segala pengetahuan yang diperlukan termasuklah penggunaan AI.
123.Latihan digital bukan soal gaya atau penampilan. Ia adalah soal kelangsungan perjuangan. Ia adalah soal survival politik.
124.Hanya jentera yang mampu menguasai heartware dan hardware secara seimbang akan mampu menawan hati rakyat, mempertahankan kebenaran dan mengembalikan keyakinan terhadap UMNO.
PENUTUP
Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,
125.Kita mohon, kita panjatkan doa, semoga Datuk Seri Najib Tun Razak, sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT.
126.InsyaAllah. Semoga ada cahaya di hujung terowong.
Sahabat seperjuangan sekalian,
127.Sejarah telah membuktikan, UMNO tidak pernah mati. UMNO bangkit seperti matahari terbit, selepas malam yang paling gelap.
128.Kita tidak gentar dengan cabaran. Malah, kita menyambutnya dengan bermaruah.
129.Biarlah ujian datang seperti ombak besar yang mengganas, kerana kita adalah karang yang teguh di tengah lautan.
130.Bergeraklah dengan penuh disiplin, dengan jiwa yang menyala, dengan tekad yang tidak boleh dipatahkan, dengan semangat seperti Nusaybah binti Ka’ab.
131.Bayangkan suasana dalam Perang Uhud, di zaman Rasulullah SAW, suara pedang berteriakan, kuda berlari bertempiaran, darah menitik di medan pertempuran.
132.Tentera Islam diserang dari segala penjuru. Dalam kekacauan itu, ada seorang wanita, Nusaybah, berdiri di barisan hadapan. Ya!!! Seorang wanita.
133.Bukan di belakang khemah, bukan hanya menyorak. Tetapi memegang pedang dan perisai, menghadapi musuh yang ganas.
134.Dia menangkis serangan demi serangan, luka menimpa tubuhnya, darah mengalir, namun dia tidak mundur walau selangkah pun.
135.Dia menjadi perisai hidup Nabi Muhammad SAW, melindungi Baginda ketika musuh menyerbu dari semua arah.
136.Seorang wanita, seorang manusia biasa, menghadapi maut dengan keberanian luar biasa, berkorban nyawa demi iman, demi prinsip, demi keselamatan umat.
137.Pengorbanan ini kita jadikan panduan. Wanita UMNO mesti menjadi benteng paling hadapan.
138.Marilah kita atur gerak bersama. Selagi Wanita UMNO bergerak, UMNO tidak akan retak. Selagi wanita UMNO bersatu, kita akan terus berpadu.
139.Kita masih banyak tugasan. Pulanglah dan buatlah persediaan. Kita susun barisan, kita bina masa hadapan.
140.Kita kena kembali menjadi juara rakyat. Menaikkan semula martabat parti keramat.
141.Bangkitlah!!! Dengan Satu Suara. Satu Tekad. Satu Kekuatan.
Hidup Wanita!
Hidup UMNO!
Hidup Malaysia!
Sekian, terima kasih.
