Wan Rosdy Tinjau Keadaan Mangsa Banjir di PPS, Nasihat Sentiasa Waspada
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Jaya Gading, di sini, bagi meninjau keadaan semasa serta memastikan kebajikan penduduk yang terjejas akibat banjir sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, setakat ini urusan penyelarasan dan penyampaian bantuan kepada mangsa banjir berjalan dengan lancar hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi keselamatan, sukarelawan serta pihak-pihak berkaitan.

“Alhamdulillah, segala bantuan dapat disampaikan dengan baik dan teratur. Kerjasama semua pihak amat membanggakan dan memberi kelegaan kepada mangsa yang terlibat,” katanya melalui hantaran di laman Facebooknya berkaitan lawatan berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menasihatkan seluruh penduduk di negeri Pahang supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta peka terhadap perkembangan semasa, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengelakkan berada di kawasan berisiko serta segera berpindah ke PPS yang disediakan sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau situasi banjir dari semasa ke semasa dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Sama-sama kita berdoa agar keadaan banjir ini kembali pulih dan segala urusan semua pihak yang terlibat dipermudahkan,” katanya lagi. – UMNO Online
