Proses Pengundian Lancar, Suhaimi Antara Awal Tunaikan Undi

SANDAKAN, 29 Nov – Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bermula awal pagi tadi bakal menentukan siapakah yang bakal menerajui negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sejak dibuka pada 7.30 pagi, pusat-pusat pengundian mula dikunjungi pengundi yang ingin menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi membuat pilihan wakil rakyat yang akan mewakili mereka nanti.

Tidak terkecuali, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir turut membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kg Gum-Gum bersama keluarga beliau.

Beliau tiba kira-kira 8.30 pagi kemudiannya beramah mesra dengan masyarakat setempat yang turut sama membuang undi di sekolah berkenaan.

Cuaca mendung awal pagi dan kenderaan yang membawa pengundi silih berganti merancakkan lagi suasana pengundian.

Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengawal selia proses perjalanan pengundian dilihat turut  membantu melicinkan lagi proses pengundian berkenaan selain kawalan pihak keselamatan yang mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat pengundian.

Suhaimi turut menyeru agar semua pengundi untuk keluar awal  menunaikan tanggungjawab masing-masing dan berharap proses pengundian berjalan dengan lancar dalam usaha menjayakan proses demokrasi pada PRN Ke-17. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO