Ahmad Zahid Ucap Selamat Mengundi, Tunaikan Hak Demi Masa Depan Sabah
KOTA KINABALU, 29 Nov – Hari ini adalah hari penting buat seluruh rakyat Sabah yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat mengundi kepada semua warga Sabah yang keluar melaksanakan amanah ini.

“Segalanya kini terletak di tangan anda. Gunakanlah hak dan kuasa yang diberikan untuk memilih wakil terbaik demi masa depan negeri ini.
“Pilihlah dengan hati yang tenang dan pertimbangan yang matang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Seterusnya tambah Presiden UMNO itu, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, beliau juga ingin menasihatkan para pengundi agar merancang perjalanan dengan baik, mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa menjaga keselamatan diri sepanjang proses pengundian.
“Saya mendoakan semoga segala urusan anda dipermudahkan dan proses pengundian berjalan dengan lancar serta teratur. Insya-Allah.
“Selamat mengundi, rakyat Sabah,” katanya.
Bermula jam 7.30 pagi tadi, semua 882 pusat mengundi dan 3,559 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka serentak bagi memberi peluang kepada 1.74 juta pengundi melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.
Pusat-pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat bermula 12 tengah hari hingga penutupan penuh pada 5.30 petang.
Dilaporkan, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan diramal berlaku di beberapa kawasan di Sabah pagi ini manakala ribut petir dijangka melanda kawasan pedalaman pada waktu petang.
Hujan juga dijangka melanda beberapa tempat pada sebelah malam ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE
