Teruskan kempen Hingga Saat Akhir, Yakin Dominasi Sokongan Kepada BN – Bung

KINABATANGAN, 28 Nov – Barisan Nasional (BN) optimis kawasan Lamag akan kembali menjadi salah satu penyumbang kerusi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hasil sokongan kuat jentera serta keyakinan pengundi terhadap rekod perkhidmatan BN.

Calon BN kawasan berkenaan yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kempen di Lamag diteruskan dengan pendekatan turun padang, bertemu pengundi dan memberikan semangat kepada jentera serta penyokong di lapangan.

“Alhamdulillah, semangat jentera sangat tinggi. Bantuan jentera daripada keluarga besar UMNO dari Semenanjung, khususnya UMNO Pahang dan Kedah serta lain-lain turut memperkukuh kekuatan jentera kita dalam menghadapi PRN kali ini,” katanya  ketika ditemui pada program Ramah Mesra Bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini semalam.

Beliau seterusnya yakin persiapan rapi jentera UMNO dan Barisan Nasional akan membolehkan parti tersebut mendominasi pilihan pengundi pada hari pengundian, hasil usaha berterusan mengembalikan kebangkitan semangat UMNO di Sabah.

“Saya optimis Lamag akan menyumbang satu kerusi kepada BN, selain kawasan-kawasan lain,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa rata-rata rakyat Sabah merindui era kecemerlangan di bawah pentadbiran BN, khususnya dari segi pembangunan dan pentadbiran lebih stabil.

“Kita lihat selepas berlaku perubahan kerajaan, ramai rakyat Sabah rindu zaman kecemerlangan dan kemenangan BN. Itu yang kita mahu kembalikan,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sekiranya diberi mandat, BN akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya, selaras dengan kandungan manifesto parti.

“Itu antara fokus utama kita dan semuanya sudah termaktub dalam manifesto BN,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru pengundi agar keluar awal pada 29 November untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Saya minta semua pengundi keluar awal. Jangan lupa bawa kad pengenalan dan undilah calon BN,” katanya.

Dalam pada itu beliau melihat persiapan parti itu bagi menghadapi PRN kali benar-benar bersedia berbanding pada tahun 2020 yang ketika itu  berlangsung secara mengejut tanpa ruang persediaan mencukupi.

“Pada 2020, pilihan raya berlaku mengejut dan kita langsung tidak bersedia. Tetapi bagi PRN 2025, kita telah melakukan pelbagai persiapan untuk memastikan kita benar-benar bersedia menjadi kerajaan. Kita telah bekerja bertahun-tahun untuk mengembalikan semangat UMNO/BN dan saya yakin dengan persiapan yang ada, kita mampu mendominasi persaingan,” tambahnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO