Semangat Pengundi Kukuh Bersama BN, Realitikan 29 Nov – Aslan Fadli

SEBATIK, 28 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Aslan Fadli Samsul Alang menegaskan komitmen untuk terus menunaikan setiap janji pembangunan yang telah dibuat kepada penduduk kawasan tersebut.

Menurutnya, BN tidak pernah mengabaikan rakyat di kawasan pedalaman, sebaliknya sentiasa berusaha memastikan projek dan kemudahan asas yang dirancang dapat dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat.

“BN tidak pernah melupakan janji-janji kepada penduduk di kawasan pedalaman, dan parti ini sentiasa berusaha menunaikan komitmen tersebut. Segala pembangunan yang dirancang merupakan kesinambungan hasil pentadbiran BN ketika memerintah dahulu.

“Sebenarnya, pengundi di DUN Sebatik amat merindui era kegemilangan BN. Setelah lebih 10 tahun BN tidak bertanding di kawasan ini, sekiranya diberikan peluang kali ini, mandat tersebut akan digunakan sebaik-baiknya.

“Pengundi di Pulau Sebatik juga masih menunjukkan semangat yang tinggi untuk memenangkan BN, khususnya di DUN Sebatik. Mereka kekal berkeyakinan dan ingin terus bersama parti ini,” katanya ketika berucap dalam program ramah mesra bersama pengundi.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohd Nizar Najib serta para pengundi DUN Sebatik.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan memohon sokongan padu daripada semua pengundi menjelang hari mengundi.

“Saya memohon dan merayu khususnya kepada rakyat di Kalabakan, terutamanya di DUN Sebatik, supaya memberikan mandat dan peluang kepada kami. Permohonan ini bukan untuk kepentingan diri, tetapi demi berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

“Saya turut merayu kepada penduduk di Tanjung Batu dan Kukusan agar memberikan mandat kepada calon BN yang bertanding di kawasan masing-masing. Kita berharap BN diberi peluang kembali mentadbir negeri Sabah.”

Pada hari penamaan calon baru-baru ini, calon BN bagi DUN Sebatik, Aslan Fadli, akan mencabar penyandang kerusi berkenaan, Datuk Hassan A Gani Pg Amir daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pertembungan 10 penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai hari pengundian.

Menurut statistik SPR, seramai 1,760,417 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO