Sehari Lagi Sebelum Mengundi, Mohd Rafi Tekankan Undilah BN

KIMANIS, 28 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan menyeru pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah agar membuat pilihan tepat pada 29 November ini dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus memastikan masa depan lima tahun akan datang tidak tergadai.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan merupakan ‘bapa angkat’ di Zon Tiga yang merangkumi DUN Bongawan, Membakut, Klias dan Kuala Penyu menekankan bahawa sepanjang kempen bersama calon-calon parti telah berjaya turun ke akar umbi, bertemu masyarakat serta menziarahi majoriti pengundi di keempat-empat kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, seluruh jentera BN turun mendampingi masyarakat. Respon yang saya terima menunjukkan majoriti di empat zon ini merindui zaman pemerintahan BN. Mereka kata mereka rindu ‘biru’ kerana rindu pembangunan yang BN bawa sejak 1994 hingga 2018,” katanya.

Mengulas baki tempoh kempen, beliau berkata semua jentera negeri angkat telah diarahkan turun sepenuhnya untuk memastikan gerak kerja berjalan lancar sehingga hari mengundi.

Beliau turut mengerahkan jentera menggerakkan seluruh penyokong BN keluar mengundi seawal pagi pada 29 November.

“Saya jangkakan akan ada kejutan pada 29 haribulan nanti. Walaupun tiga kerusi kini dipegang GRS dan satu oleh Warisan, sejarah membuktikan keempat-empat DUN ini merupakan kerusi tradisi BN. Kita tidak pernah kalah kecuali di Bongawan,” jelasnya.

Menurutnya, pengundi di empat kawasan itu sudah merasai sendiri pentadbiran kerajaan sebelumnya termasuk Warisan dan GRS, serta dapat menilai perbezaan yang ketara berbanding era BN.

“Terbukti, antara semua kerajaan, BN yang membawa pembangunan, kestabilan serta keharmonian hidup rakyat di Sabah. Ini peluang lima tahun sekali yang diberikan undang-undang. Kita tidak boleh gadaikan masa depan lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau sekali lagi merayu seluruh pengundi di Zon Tiga agar memberikan undi kepada calon-calon BN demi menjamin masa depan yang lebih kukuh buat Sabah.

“Pada 29 November ini tidak ada pilihan lain maka undilah calon Barisan Nasional,” tegasnya lagi kepada UMNO Online – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO