PRN Sabah Peluang Emas Kembalikan Kestabilan – Wan Rosdy
KINABATANGAN, 28 Nov — Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini merupakan peluang penting bagi rakyat negeri itu mengembalikan kestabilan dan memastikan pembangunan yang lebih teratur untuk lima tahun mendatang.
Menurutnya, rakyat Sabah telah lama berdepan masalah asas yang tidak diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.
“Jalan rosak, elektrik tidak stabil, air tidak mencukupi. Sampai bila rakyat Sabah mahu terus berdepan masalah asas? Jika bukan BN memegang pentadbiran, lima tahun lagi masalah yang sama akan berulang malah mungkin sepuluh tahun.” katanya ketika berucap membantu kempen calon BN DUN Lamag, Datuk Bung Moktar Radin, di sini, petang tadi.
Wan Rosdy turut mengingatkan para pengundi, khususnya anak muda, agar tidak terpengaruh dengan dakyah serta janji kosong pihak lawan yang hanya muncul pada musim pilihan raya.
Beliau berkata, keberanian Bung membangkitkan isu hak Sabah, penyelewengan serta tuntutan negeri di Parlimen menjadikannya seorang pemimpin yang tegas dan tidak gentar memperjuangkan rakyat.
“Beliau tetap bersama UMNO, tetap bersama rakyat Sabah walaupun ditinggalkan kawan-kawan. Ini sifat yang tidak ada pada orang lain…berani, ada wawasan dan setia,” tambahnya.
Wan Rosdy yakin dengan sokongan padu rakyat, Bung yang juga Ketua UMNO Sabah bukan sahaja mampu mempertahankan DUN Lamag, malah berpotensi mengangkat Sabah ke arah pentadbiran yang lebih stabil dan teratur.
Mengulas sasaran BN dalam PRN Sabah, beliau berkata gabungan itu memerlukan sekurang-kurangnya 37 kerusi untuk membentuk kerajaan stabil, dengan harapan mencapai 45 kerusi bersama rakan-rakan sekutu.
Katanya, keutamaan kini ialah memastikan rakyat turun mengundi pada 29 November ini. – UMNO Online
