Mandat Pengundi Kunci Perubahan Apas – Dr Elmiariezan
APAS, 28 Nov – Hanya berbaki beberapa jam sebelum hari mengundi, suasana kempen di seluruh kawasan terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, semakin hangat dengan mempergiat usaha terakhir mereka untuk meyakinkan pengundi.
Dalam hal ini, calon Barisan Nasional (BN) DUN Apas, Dr Elmiariezan Ardan merayu kepada seluruh pengundi agar memberi peluang dan mandat kepada BN untuk membawa perubahan yang lebih besar kepada kawasan ini.
“Saya merayu kepada seluruh pengundi DUN Apas, undilah BN pada 29 November dan apa yang inginkan perubahan, Insya-Allah… saya akan laksanakan sekiranya diberi mandat mewakili DUN Apas.
“BN menawarkan perancangan yang realistik serta mampu dilaksanakan, selari dengan keperluan penduduk setempat termasuk peluang pekerjaan, peningkatan ekonomi komuniti dan infrastruktur asas yang lebih baik.
“Kita mahu memastikan DUN Apas menjadi kawasan yang berkembang pesat. Dengan mandat yang kuat, kita boleh melaksanakan perubahan secara menyeluruh demi masa depan penduduk,” katanya kepada UMNO Online.
Dr Elmiariezan yang juga Bendahari Pemuda UMNO Bahagian Tawau berkata, manifesto BN kali ini benar-benar merangkumi keperluan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan muda yang sedang mencari arah masa depan yang lebih stabil.
“Saya melihat manifesto BN merangkumi semua lapisan masyarakat, termasuk aspek ekonomi, e-healing, serta TVET. Ia juga menyediakan peluang pekerjaan dan bidang keusahawanan yang semakin menjadi pilihan anak muda. Manifesto BN jelas menawarkan agenda yang mampu membantu belia meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan secara berterusan.
Pelan pembangunan yang diketengahkan turut menekankan penyediaan ekosistem lebih moden dan inklusif, selari dengan keperluan generasi muda masa kini. Langkah memperkukuh TVET serta memperluas akses kepada latihan digital dan teknologi baharu diyakini dapat melahirkan tenaga kerja yang berkualiti dan kompetitif,” katanya lagi.
Tambah beliau, BN menunjukkan komitmen memperkasa peluang kerjaya melalui pelbagai program pembangunan.
“BN terus memperkasakan kerjaya usahawan melalui geran permulaan serta sokongan modal bagi mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Inisiatif ini bukan sahaja membuka laluan kepada belia untuk membina masa depan lebih stabil, tetapi juga memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi setempat,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 November sebagai hari pengundian. Mengikut statistik SPR, seramai 1,760,417 pengundi biasa layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini. – UMNO Online
