Hari Pengundian: Mantapkan Gerak Kerja PDM Pastikan Kemenangan

KOTA BELUD, 28 Nov – Memasuki hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Tadzul Radim menyeru semua jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) terus bersatu dan fokus.

Ujarnya, gerak kerja yang tersusun untuk menghadapi hari pengundian pada esok amat penting bagi memastikan kemenangan di pihak BN.

“Saya menyeru agar semua Ketua PDM terus bersatu, fokus dan berdisiplin dalam menggerakkan gerak kerja bagi memastikan kejayaan pada pilihan raya kali ini.

“Semoga semangat kebersamaan dan komitmen yang ditunjukkan dapat membawa kejayaan kepada kita semua,” katanya.

Seterusnya, Tadzul juga berpeluang menghadiri sebuah program bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan untuk mendengar ceramah serta perkongsian sejarah berkaitan kemasukan UMNO di Sabah serta perjuangan masyarakat Iranun yang disampaikan oleh Datu Ampuan Pinjaman.

“Alhamdulillah, kehadiran para penduduk Kampung Rampayan Laut telah memeriahkan lagi majlis tersebut. Saya yakin program seperti ini bukan sahaja membuka ruang untuk menambah ilmu dan memahami sejarah perjuangan parti, malah turut memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

“…melalui pengukuhan semangat perpaduan, kesedaran politik dan kefahaman terhadap hala tuju pembangunan kawasan. Semoga penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan demi kebaikan bersama,” katanya.

Dalam siri kempennya, Tadzul juga menerima sambutan dan sokongan yang amat baik daripada penduduk Kampung Kayu Putih dan Kampung Nanamun.

“Kehangatan layanan yang diberikan benar-benar mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat setempat.

“Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus berkekalan dan menjadi pemangkin kepada usaha kita bersama dalam membawa pembangunan, kesejahteraan serta perubahan yang lebih baik untuk komuniti setempat. Insya-Allah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok, Sabtu sebagai hari pembuangan undi di mana tempoh berkempen yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam ini, manakala undi awal telah berlangsung pada Selasa lalu.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO