BN Sentiasa Kotakan Janji, Bukan Retorik Atau Omong Kosong – Nizar Najib
KALABAKAN, 28 Nov – Exco Pelaburan, Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Mohd Nizar Najib menyeru rakyat Sabah agar membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dengan memilih Barisan Nasional (BN), sebuah parti yang disifatkannya mempunyai rekod pentadbiran paling kukuh serta pelaksanaan dasar yang terbukti berjaya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, keyakinan rakyat terhadap BN bukan sekadar retorik, sebaliknya berasaskan kemampuan parti itu menunaikan setiap tawaran yang diketengahkan kepada rakyat.

“Rakyat Sabah perlu memilih Barisan Nasional (BN) kerana BN merupakan satu-satunya parti yang mempunyai kuasa pentadbiran mantap serta rekod pelaksanaan dasar yang cemerlang. Rakyat Sabah menyenangi BN kerana setiap janji yang ditawarkan adalah komitmen sebenar, bukan sekadar retorik atau ‘omong-omong kosong’.
“Hakikatnya, pentadbiran BN sentiasa mengotakan apa yang dijanjikan. Parti tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’, kerana tiada maknanya jika sesuatu itu tidak mampu dilaksanakan. Sebab itu pengundi Sabah harus memilih dan mengundi BN.
“BN Sabah juga memberi ruang kepada bakat-bakat baharu yang ‘winnable’, mesra rakyat dan diterima masyarakat untuk diketengahkan sebagai calon. Saya berharap 45 calon BN dapat memperoleh kemenangan majoriti dalam pilihan raya kali ini bagi membentuk blok Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang kuat di Sabah,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di PDM Sentosa.

Pada masa yang sama, Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan turut melawat para pengundi di DUN Sebatik dan Kukusan. Beliau menyatakan bahawa calon-calon BN di kawasan tersebut adalah pejuang rakyat yang komited serta memahami denyut nadi masyarakat setempat.
“Calon BN ini merupakan ‘fighter’ yang tidak mudah berputus asa, dan saya yakin keputusan kali ini akan memihak kepada mereka. Pengundi di DUN Sebatik dan Kukusan wajar mengambil peluang ini untuk mengangkat calon-calon BN yang berwibawa, berkhidmat sepenuh hati serta berupaya menyelesaikan masalah rakyat. Sudah tiba masanya semangat dan dasar-dasar mesra rakyat seperti era pentadbiran BN dahulu diperkenalkan semula,” katanya.
Beliau turut berharap agar pengundi di kedua-dua DUN berkenaan dapat menobatkan calon BN sebagai wakil rakyat di DUN Sabah.
“Ianya amat memberangsangkan dan memberi nafas baharu kepada calon BN untuk terus memperjuangkan kerusi ini bagi pihak parti sehingga ke saat akhir,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai hari pengundian. Kelmarin, seramai 24,426 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut statistik SPR, sejumlah 1,760,417 pengundi biasa layak mengundi pada PRN kali ini.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan bagi mengisi 73 kerusi DUN, dan BN bertanding di 45 kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO Online
