Awang Aslee Yakin Sokongan Pengundi, Tekad Tawan DUN Kuala Penyu

KUALA PENYU, 28 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat, menyatakan keyakinan bahawa gerak kerja jentera parti berada pada momentum terbaik menjelang hari pengundian.

Beliau berkata, jentera BN menunjukkan kesatuan dan kecekapan yang tinggi sepanjang tempoh kempen, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap peluang BN menawan semula DUN Kuala Penyu pada 29 November ini.

“Alhamdulillah, setakat ini momentum gerak kerja, terutama jentera parti, berjalan dengan sangat efisien. Kesatuan dalam pergerakan jentera pun alhamdulillah sangat baik. Kita percaya sekiranya momentum ini diteruskan hingga hari pengundian, insya-Allah dengan restu Allah SWT, kita akan berjaya menawan DUN Kuala Penyu,” katanya.

Awang Aslee turut menyeru para pengundi di Kuala Penyu supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada awal pagi bagi mengelakkan cuaca mendung dan hujan yang sering berlaku pada waktu petang.

“Kepada semua pengundi di DUN Kuala Penyu, kalau boleh datanglah mengundi pada awal pagi kerana cuaca di sini kebiasaannya hujan pada sebelah petang,” katanya.

Dengan hanya dua hari berbaki sebelum hari pengundian, beliau merayu sokongan pengundi, sambil menegaskan komitmennya sebagai anak jati Kuala Penyu yang membesar dan mendapat pendidikan di daerah itu.

“Saya bukan sekadar calon BN, tetapi saya anak jati Kuala Penyu. Jika diberikan kepercayaan, saya akan melaksanakan amanah ini dengan sepenuh hati sebagai suara rakyat di DUN ini untuk tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian. PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

BN bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN kali ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO