Anak Muda Kinabatangan Letak Harapan Kepada BN Untuk Pembangunan

KINABATANGAN, 28 Nov — Menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 esok, pengundi di negeri berkenaan kini sudah mempunyai pilihan masing-masing untuk menentukan parti yang bakal diberi mandat menerajui kawasan mereka.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, tumpuan diberikan kepada pertembungan enam penjuru yang turut menyaksikan penyertaan Ketua UMNO Sabah merangkap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Moktar Radin.

Pelbagai harapan disuarakan masyarakat setempat, termasuk golongan muda yang mahu melihat kesinambungan kepimpinan dan pembangunan di bawah BN diteruskan demi masa depan Kinabatangan.

Seorang pengundi muda, Tiara Nurlina, 18, dari Kampung Sinar Jaya, memilih BN dan berkata BN telah lama membuktikan keupayaan mentadbir dengan baik dan membawa kemajuan kepada penduduk.

“Kita perlu memilih parti yang boleh menjaga kebajikan rakyat. Mesti fikir untuk masa depan, untuk anak-anak muda yang akan datang,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau turut menyeru agar pengundi muda turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab dan memberi sokongan kepada BN pada hari pengundian.

“Kepada anak-anak muda, undilah Barisan Nasional supaya lebih banyak pembaikan dan pembangunan dapat dilaksanakan di Kinabatangan pada masa akan datang,” ujarnya.

Selain itu katanya, anak muda juga turut meletakkan harapan tinggi kepada kepimpinan negeri kelak agar memberi tumpuan kepada aspek pendidikan.

Bagi Muhammad Fariz Sahari, dari Kampung Lotip, berharap Kinabatangan memiliki institusi pendidikan tinggi sendiri bagi memudahkan pelajar melanjutkan pelajaran tanpa perlu merantau jauh.

“Harapan kami supaya ada institusi pendidikan atau pengajian tinggi dekat Kinabatangan, supaya pelajar yang mahu sambung belajar tidak perlu lagi merantau jauh,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap BN sebagai parti yang berupaya memajukan Kinabatangan, berdasarkan rekod sumbangan dan program pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Kalau kita tengok sebelum ini, banyak sumbangan BN kepada rakyat Kinabatangan. Saya sendiri pernah menerima bantuan pendidikan daripada BN untuk menyambung pengajian,” ujarnya.

Sementara itu, Eman Hakimi Mohamad Rithaudin, 18, dari kawasan sama, berharap agar wujud satu sistem bantuan yang lebih tersusun bagi memudahkan pelajar memohon sokongan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai pengundi kali pertama, beliau menyatakan komitmennya untuk memilih parti yang stabil dan mempunyai rekod pencapaian yang jelas.

“Nanti saya akan memilih sebuah parti yang betul-betul stabil. Kita perlu pilih parti yang ada rekod pencapaian, sebab dari situ kita boleh lihat siapa yang boleh membawa kita ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat perlu menilai berdasarkan bukti dan prestasi parti yang telah terbukti berkhidmat untuk rakyat.

“Kita sudah nampak bukti apa yang mereka buat sebelum ini, dan kita mahu ia diteruskan supaya Kinabatangan terus berkembang,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO