Trek Rekod BN Terbukti Memajukan Sabah, Parti Lain Gagal – Ahmad Jazlan
BEAUFORT, 27 Nov – Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan bahawa hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang terbukti mampu memajukan Sabah, berdasarkan rekod pembangunan yang tidak dapat disangkal sepanjang pentadbiran parti tersebut di negeri itu.
Berucap pada Program FELCRA MADANI Santuni Rakyat @ Lumadan di Dataran Bagandang semalam, beliau berkata sejarah jelas menunjukkan BN telah menyatukan pelbagai suku kaum dan membawa Sabah ke arah kemajuan pesat.

“Sesungguhnya tidak ada parti lain yang mampu membuktikan pencapaian seperti BN dalam memajukan seluruh negeri. Sejarah tidak pernah berdusta, pembangunan yang berdiri hari ini adalah hasil kerja tangan BN.”
Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan menambah, selepas BN tumbang, banyak perancangan besar tergendala dan Sabah berdepan pembangunan yang terhenti.
Beliau menegaskan bahawa Sabah memiliki potensi besar untuk menjadi negeri termaju, namun hanya boleh direalisasikan dengan kepimpinan yang mempunyai rekod pembinaan sebenar.
“Jika BN kembali diberi mandat, fokus pembangunan akan digandakan demi memastikan Sabah kembali bangkit,” katanya.

Justeru menjelang 29 November iaitu hari pengundian PRN Sabah, beliau merayu pengundi Lumadan agar memilih BN bagi
memastikan tidak tercicir daripada arus politik baharu.
“Lumadan jangan ketinggalan lagi. Kita perlu kembali bersatu dalam satu pasukan yang terbukti membawa hasil,” katanya lagi.
Program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta calon BN N.34 Lumadan, Datuk Mohd Nazri Abdullah. – UMNO Online
