Pengundi Lumadan Digesa Pilih BN Demi Masa Depan Sabah

SIPITANG, 27 Nov – Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Abdul Rahman Noh menyeru para pengundi di DUN Lumadan supaya membuat pilihan yang matang dan bijak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 ini dengan memilih Barisan Nasional (BN) sebagai wakil rakyat mereka.

Menurut beliau, BN merupakan satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan pembangunan Sabah dan terbukti mempunyai rekod pencapaian kukuh sejak mentadbir negeri itu pada tahun 1994.

“Saya mengharapkan pengundi matang dan bijak memilih. Yang terbaik tidak lain adalah BN. Saya merayu kepada pengundi Lumadan untuk memberi peluang kepada calon BN dan memilih beliau sebagai wakil rakyat di sini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen ini, gerak kerja jentera BN berjalan dengan baik dan semakin mendapat sokongan daripada masyarakat setempat. Jentera BN Lumadan turut dibantu oleh pasukan bapa angkat dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan bagi mengukuhkan lagi gerakan di lapangan.

“Setakat ini kempen BN berjalan lancar. Pada hari-hari terakhir ini, kita akan gandakan usaha untuk terus menyantuni pengundi di 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada. Kita melihat semangat pengundi semakin kembali kepada BN, dibantu juga dengan kehadiran pemimpin yang turun padang,” jelasnya.

Abdul Rahman menegaskan bahawa BN tetap menjadi parti paling stabil dan mempunyai kemampuan mentadbir Sabah dengan lebih teratur, berbanding parti-parti yang pernah menjadi kerajaan sebelum ini tetapi gagal menunjukkan prestasi yang meyakinkan.

“Trek rekod BN menjadi tanda aras kepada perubahan sokongan rakyat. Rakyat boleh menilai parti-parti yang telah menjadi kerajaan sebelum ini namun gagal. Akhirnya, BN tetap yang terbaik berdasarkan pencapaian yang terbukti,” ujarnya.

Beliau berharap momentum sokongan ini akan diterjemahkan menjadi undi kepada BN pada hari pengundian nanti demi masa depan DUN Lumadan dan Sabah secara keseluruhannya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO