Pengundi Diseru Pilih Calon Berprinsip, Komited Berkhidmat – Azalina

TUARAN, 27 Nov – Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan pengundi agar membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dengan memilih calon yang berprinsip dan konsisten dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Kata Azalina yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), landskap politik negeri itu dengan pelbagai parti memerlukan kebijaksanaan pengundi untuk menilai rekod dan kemampuan setiap calon, terutama dalam mengelakkan wakil rakyat yang berpotensi melompat parti atau hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Saya mengingatkan pengundi kenalah pilih parti politik yang boleh mewakili mereka, yang bukan mempunyai potensi untuk lompat dan juga menawarkan diri hanya kerana jawatan. Sebab kita mesti ingat antara tanggungjawab utama setiap calon yang menawarkan diri ialah khidmat kepada rakyat,” katanya.

Azalina berkata demikian kepada media selepas hadir di program Justice on Wheels (JoW) di perkarangan Pasar Tuaran, di sini, hari ini.

Dalam siri kempen sempena PRN Sabah ini, Azalina selepas itu turut mengadakan ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Berungis.

Seterusnya ulas Azalina lagi, kewujudan Akta Lompat Parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan langkah penting bagi memastikan mandat rakyat terus dihormati dan wakil rakyat kekal bertanggungjawab kepada parti serta pengundi.

Ia juga sekali gus mengelakkan situasi di mana wakil rakyat bertukar parti selepas dipilih.

“Khidmat ini menjadi satu keutamaan kepada rakyat sebab perlu tahu apabila mengundi hari ini, esoknya wakil rakyat itu kena bekerja.

“Jika memilih calon yang berpotensi untuk lompat parti atau yang hanya muncul ketika musim pilihan raya, akhirnya rakyat juga yang susah,” katanya.

Menurut beliau juga, komitmen BN terhadap kestabilan politik dan kepatuhan kepada mandat rakyat menjadi asas penting dalam memastikan wakil rakyat tidak menyimpang daripada amanah yang diberikan.

Menjawab kritikan bahawa BN pernah memerintah Sabah namun isu tertentu masih berulang, beliau menyatakan bahawa banyak parti yang kini menawarkan diri pun sebenarnya lahir daripada BN, malah pernah bersama dalam kerajaan negeri.

“Ini realiti politik Sabah. Setiap individu ada hak menubuhkan parti, tetapi rekod BN dalam mentadbir dan menjaga kestabilan negeri tidak boleh dinafikan. Banyak parti baharu hari ini sebenarnya berasal dari perut BN sendiri,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat perlu memahami peranan sebenar wakil rakyat negeri.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanggungjawab menyelesaikan isu negeri. Jadi amat penting memilih calon yang tidak akan melompat dan akan terus memberikan khidmat. Jika tidak, rakyat juga yang terbeban apabila undi A tetapi akhirnya dapat B,” katanya.

Justeru Azalina menegaskan bahawa BN terus komited menawarkan kestabilan, rekod pentadbiran serta barisan calon yang berdisiplin dan berkhidmat bagi memastikan Sabah kembali berada di landasan pembangunan yang kukuh. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO