Pendidikan Awal Asas Pembentukan Sahsiah, Landasan Potensi Masa Depan – Najib

SRI GADING, 27 Nov — Program Hari Apresiasi Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS Parlimen Sri Gading serta Khatam Perdana Pra-Tahfiz IQFA 2025 berlangsung meriah apabila menghimpunkan seramai 43 TABIKA dan TASKA KEMAS dalam satu majlis penuh warna dan signifikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, hadir bagi sesi pertama majlis, menyempurnakan penyampaian Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang, penyerahan sijil serta cenderahati kepada para pelajar yang diraikan.

Menurut Najib, pendidikan awal merupakan asas penting dalam membina keyakinan, sahsiah dan potensi anak-anak sejak usia muda, seiring usaha KEMAS memastikan pendekatan pembelajaran yang holistik dan berkualiti terus diperkasakan.

Majlis turut diserikan dengan Program Khatam Perdana Pra-Tahfiz IQFA, yang menekankan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup, sekali gus memupuk akhlak, disiplin serta kecintaan kepada ilmu agama dalam kalangan tunas muda Sri Gading.

Beliau menzahirkan harapan agar usaha sebegini terus dipergiat bagi membentuk generasi berilmu, beradab dan berakhlak mulia, seterusnya menjadi aset penting kepada masa depan Sri Gading dan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO