Fitnah Awal Pihak Lawan Tidak Terjejas Keyakinan Pengundi – Wan Rosdy

TAWAU, 27 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa segala permainan persepsi yang cuba dilemparkan oleh pihak lawan terhadap BN telah berjaya dipatahkan melalui penjelasan yang berasaskan fakta.

Wan Rosdy, yang juga Menteri Besar Pahang, berkata pihak lawan dilihat lebih awal melancarkan serangan berunsur persepsi, fitnah serta isu tidak berasas, namun BN memilih pendekatan lebih profesional dan telus dengan menjawab setiap dakwaan secara tuntas.

“Saya mendapati permainan persepsi, fitnah serta isu tidak berasas telah lebih awal dimainkan oleh pihak lawan. Namun BN berjaya menangkis segala tohmahan tersebut dengan penjelasan berasaskan fakta. Pengundi kini semakin rasional dan mampu menilai yang mana benar dan yang mana tidak,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengundi akan membuat pilihan terbaik memandangkan prestasi kerajaan terdahulu dilihat mengecewakan.

“Sekiranya BN diberi peluang menerajui pentadbiran Sabah pada pilihan raya kali ini, BN komited melakukan yang lebih baik berbanding apa yang telah dilaksanakan sebelum ini. Prestasi BN ketika menerajui Sabah dahulu terbukti cemerlang, antaranya melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Projek ini sepatutnya sudah siap sepenuhnya, namun akibat kegagalan mempertahankan kerajaan dan perubahan pentadbiran, projek tersebut tidak dapat disiapkan mengikut jadual,” jelasnya kepada UMNO Online selepas Program Minum Petang bersama calon BN, semalam.

Turut hadir calon BN bagi DUN Apas, Dr. Elmiariezan Ardan; calon BN DUN Balung, Erwan Palette; Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din; Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman; serta para pengundi setempat.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata pengundi Sabah kini semakin selesa dengan calon-calon yang diketengahkan oleh BN, manakala jentera parti terus komited mendekati pengundi di setiap kawasan.

“Saya mendapati para pengundi berasa selesa dengan calon-calon yang diketengahkan oleh BN. Jentera parti juga telah bekerja keras mendekati pengundi, dan sambutan yang diterima di Tawau amat memberangsangkan.

“Calon-calon BN perlu mengekalkan momentum ini dengan terus turun mendekati pengundi seramai mungkin. Saya berharap mereka dapat menjelaskan dengan jelas apa yang akan dibawa sekiranya diberikan mandat, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu setempat seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya. Perkara-perkara asas ini harus diberi perhatian oleh calon BN,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa manifesto BN kali ini benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat setelah mendengar suara masyarakat di semua peringkat sebelum merangka dasar dan tawaran utama.

“Manifesto BN kali ini sangat baik. Ia dirancang dengan teliti, bukan digubal mengikut emosi. Segala perkara telah dikaji dan kita yakin ia mampu dilaksanakan sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir Sabah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO