BN Terus Tampil ‘Track Record’ Kerja Di Lamag, Percaya Pengundi Bijak Buat Pilihan – Naim
KINABATANGAN, 27 Nov — Barisan Nasional (BN) di Lamag terus menampilkan kekuatan jentera dan rekod khidmat bakti yang telah lama dibina demi kesejahteraan rakyat setempat.
Pengarah Piihan Raya BN DUN Lamag, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata pembangunan serta bantuan yang dibawa masuk ke kawasan berkenaan menjadi bukti jelas kemampuan parti itu melaksanakan kerja, bukan sekadar retorik.
“Di Kinabatangan, khususnya di Lamak, 95 peratus pembangunan yang ada hari ini adalah hasil usaha BN dan calon kita sendiri, Datuk Bung Moktar Radin. Rakyat boleh menilai mana parti yang betul-betul bekerja dan mana yang hanya banyak bercakap,” katanya kepada UMNO-Online.
Terdahulu beliau beramah mesra dengan masyarakat setempat pada program aktiviti santai PDM Buang Sayang, dekat sini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan seterusnya menambah rakyat kini semakin bijak menilai, mampu membezakan antara “permata dan suasa”, justeru BN memilih untuk terus menunjukkan rekod perkhidmatan berbanding berbalas dakwaan.
“Kita tidak perlu bercakap banyak sebaliknya kita menonjolkan kerja yang telah kita bina. Tugas jentera kini adalah memastikan setiap pengundi berjaya dijejaki dan didekati, bukan dengan janji kosong, tetapi dengan bukti kerja yang telah dibuktikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau melihat manifesto yang dibawa BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 kali ini bukan sahaja menyeluruh malah memberi penekanan yang amat penting berhubung kesejahteraan rakyat termasuklah di Lamag.
Tambah beliau antara inisiatif signifikan ialah pembinaan Pusat Riadah Belia di kawasan kira-kira 10 daerah di Sabah, dengan Kinabatangan turut tersenarai sebagai lokasi utama.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada golongan belia, menyediakan ruang untuk aktiviti sukan, riadah dan pembangunan bakat. Kinabatangan insya-Allah akan menjadi salah satu lokasi pembinaan pusat tersebut,” katanya.
Selain itu, BN turut memberi perhatian kepada penyediaan perumahan mampu milik merangkumi rumah kos rendah, Rumah Bina Negara (BPR) dan beberapa skim lain, sebagai langkah memastikan rakyat berpendapatan rendah terus terbela.
Menyentuh suasana kempen di kawasan Lamag, beliau melihat ianya berlangsung dalam suasana harmoni dengan mengekalkan hubungan kekeluargaan meskipun calon dan penyokong mewakili parti berbeza.
“Selama ini kita semua berkeluarga. Calon Warisan berkeluarga, calon BN berkeluarga, calon GRS berkeluarga, calon Bebas juga berkeluarga. Kita tidak mahu hubungan kekeluargaan ini terhapus hanya kerana perbezaan ideologi politik,” katanya.
Beliau menegaskan perlunya semua parti dan jentera berkempen secara sihat tanpa memecahbelahkan masyarakat.
“Kita pastikan selepas pilihan raya, apabila semuanya selesai, warna baju kita buka dan kita kembali memupuk semula kekeluargaan yang sedia terjalin,” katanya. – UMNO Online
