Willey Lampaki Teruskan Jelajah Mesra Rakyat, Gelombang Sokongan Semakin Kuat
KOTA MARUDU, 26 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau Willey Lampaki terus bergerak aktif dalam siri kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.
Pelbagai lapisan masyarakat beliau santuni dan penerimaan rakyat terhadapnya jelas kelihatan amat positif dan memberangsangkan.

Selain aktiviti rumah ke rumah dan bertemu jentera di markas Pusat Daerah Mengundi (PDM), program jelajah mesra rakyat turut melibatkan program komuniti setempat.
“Program Jelajah Mesra Rakyat diteruskan dengan penyertaan dalam Program Promosi Komputer KEMAS Kota Marudu, bagi menyokong usaha memperluas peluang pembelajaran digital serta meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Selain itu, Willey juga membuat lawatan mesra ke Marudu Tengah bersama Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Ismara Madcasar.

“Ini lebih membangkitkan semangat perjuangan di kalangan penyokong. Kehadiran masyarakat setempat menunjukkan gelombang sokongan yang kian menguat menuju hari penentuan,” katanya.
SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi, di mana tempoh berkempen yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE
