Manifesto BN Semakin Diterima Rakyat Sabah, Fokus Anak Muda dan Infrastruktur Jadi Tarikan Utama

SANDAKAN, 26 Nov – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menyatakan keyakinan bahawa manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan beberapa hari lalu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin mendapat penerimaan positif daripada rakyat Sabah, terutamanya golongan muda dan pelbagai peringkat lapisan masyarakat setempat.

Menurut beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungai Sibuga, beberapa hari selepas pelancaran, maklum balas masyarakat menunjukkan tawaran-tawaran yang dibentangkan BN Sabah dianggap realistik dan mampu dilaksanakan sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Alhamdulillah, kita telah melancarkan manifesto pada 22 haribulan yang lalu dan melihat daripada perkembangan beberapa hari ini, manifesto BN diterima baik oleh rakyat Sabah,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau menegaskan bahawa tawaran untuk golongan muda menjadi antara elemen paling menarik dalam manifesto tersebut.

“Bagi anak muda, manifesto kita cukup memihak kepada mereka. Tawaran berkaitan pendidikan, biasiswa, baucar buku dan bantuan kad pelajar jelas menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional mengutamakan rakyat, berbanding manifesto parti-parti lain,” ujarnya.

Selain fokus kepada pendidikan dan pembangunan modal insan, BN turut memberi penekanan kepada isu-isu asas yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah.

“Aspek lain ialah pembaikan infrastruktur asas yang merangkumi keperluan air, elektrik dan jalan raya. Semua ini telah dirangkum secara jelas dalam manifesto sebagai komitmen kita memperbaiki kelemahan kerajaan lalu,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa semua tawaran mampu dilaksanakan dengan perancangan rapi sebaik sahaja mandat diberikan.

“Saya yakin tawaran-tawaran ini dapat kita laksanakan. Insya Allah jika diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri in, kita akan susun perancangan terbaik untuk memastikan keseluruhan manifesto BN benar-benar direalisasikan demi rakyat Sabah,” tambahnya.

Manifesto BN itu menekankan kesejahteraan golongan muda, pendidikan, pembangunan infrastruktur, serta peluang ekonomi bagi rakyat Sabah, sebagai usaha untuk membentuk negeri yang lebih progresif dan sejahtera. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO