Manifesto BN Paling Praktikal, Mudah Dihadam – Hasnal Rezua

TANJUNG BATU, 26 Nov – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah yang dilancarkan kali ini tampil lebih mantap, ringkas dan mudah difahami rakyat.

Menurutnya, manifesto baharu itu disusun dengan bahasa yang jelas, struktur teratur serta ringkasan yang padat bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda, dapat memahami hala tuju pembangunan yang dibawa BN.

“Manifesto BN Sabah kali ini lebih baik berbanding manifesto lain kerana ia lebih praktikal, mudah difahami serta diperjelaskan dengan bahasa yang ringkas. Ia turut disertakan dengan ringkasan yang padat, sekali gus memudahkan rakyat terutamanya golongan muda menghayatinya.

“Sebenarnya, mereka yang sudah bersedia menyokong BN tidak terlalu mengambil kira kandungan manifesto kerana ‘track record’ BN sendiri sudah membuktikan pencapaiannya. Pengundi lebih bersandar pada rekod prestasi parti ini dan tidak semestinya bergantung kepada manifesto baharu yang dibentangkan.

“Namun, bagi meyakinkan pengundi kali pertama, mereka yang pernah menyokong parti lain, atau mereka yang berada di atas pagar dan ingin kembali kepada BN, manifesto ini mampu menjadi panduan penting,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Hasnal, kekuatan BN bukan sahaja terletak pada manifesto, tetapi juga pada rekod khidmat calon-calon yang telah lama berbakti kepada masyarakat.

“Ramai pengundi bersedia mengundi BN berdasarkan rekod perkhidmatan calon, termasuk ketika mereka belum lagi menjadi calon. Khidmat bertahun-tahun di kawasan masing-masing menjadi kelebihan utama BN,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hasnal berkata momentum ditunjukkan calon-calon BN pada kali ini sangat ‘luar biasa’, menggambarkan kebangkitan sokongan rakyat di seluruh kawasan.

“Momentum yang dibawa calon-calon BN pada PRN ke-17 ini benar-benar menampilkan sesuatu yang luar biasa. Saya yakin ‘gelombang’ BN tidak boleh dipendam atau dipadamkan begitu sahaja. Gelombang ini terus hidup dan, Insya-Allah, BN berpotensi memenangi banyak kerusi DUN Sabah, sama ada melalui kerjasama gabungan mahupun secara bersendirian untuk membentuk kerajaan negeri.”

“Satu gelombang pengundi masih merasai nikmat semasa pentadbiran BN. Mereka tidak akan berpaling kerana pernah menikmati hasil kerajaan BN terdahulu dan mahu parti ini terus menerajui. Yang menghairankan, ramai anak muda hari ini tidak begitu memahami rekod pentadbiran BN kerana mereka masih kecil ketika BN tewas pada 2018.”

“Anak-anak muda kini seolah-olah hilang harapan terhadap parti-parti lain yang mentadbir Sabah. Mereka telah melihat sendiri pentadbiran Warisan dan GRS, namun tidak merasakan apa-apa keistimewaan. Hakikatnya, segala pembangunan dan infrastruktur yang ada dalam kawasan merupakan hasil usaha BN.”

“Golongan ini juga pernah merasai skim-skim intensif di bawah kepimpinan BN terdahulu dan melihat BN sebagai parti inklusif yang tidak memecahbelahkan kaum di Sabah serta tidak memisahkan Sabah dari Semenanjung,” katanya lagi.

Beliau menambah, anak-anak muda Sabah kini lebih selesa dengan pendekatan politik BN yang menekankan kemakmuran, kestabilan serta pembangunan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO