Jentera BN Siap ‘Full Gear’ Menjelang Pengundian Sabtu Ini

SANDAKAN, 26 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menzahirkan keyakinan terhadap kesiapsiagaan jentera parti menjelang fasa akhir kempen pilihan raya, sambil menyifatkan gerak kerja yang ditunjukkan sejak hari penamaan calon sebagai konsisten dan meyakinkan.

Menurutnya, komitmen jentera BN di semua peringkat memainkan peranan penting dalam memastikan mesej serta tawaran pembangunan parti sampai kepada pengundi secara lebih efektif

“Masing-masing telah pun menjalankan kerja-kerja yang patut dilakukan oleh jentera parti BN dengan baik, bersungguh-sungguh dan teratur. Saya nampak bahawa keyakinan di semua tempat berada dalam keadaan sangat baik. Mereka yakin bahawa mereka mampu mengatasi parti-parti lawan,” katanya kepada UMNO-Online

Terdahulu beliau bersama jentera Kedah dan setempat yang lain melaksanakan pelbagai persiapan akhir menjelang hari pengundian Sabtu ini di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Airpirt, salah satu PDM DUN Sungai Sibuga.

Mahdzir turut mengulas mengenai penerimaan positif pengundi terhadap manifesto yang dilancarkan Pengerusi BN, yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu.

Jelasnya, slogan “Bikin Balik” yang dibawa BN memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan program pembangunan terdahulu, khususnya melibatkan kemudahan asas.

“Antara isu yang sering dibangkitkan rakyat ialah kekurangan bekalan air, bekalan elektrik yang tidak mencukupi, dan kerosakan jalan raya (jeraya) yang memerlukan pembinaan baharu.

“Kalau masyarakat dan pengundi Sabah memberi mandat semula kepada BN, benda-benda yang tidak terurus selama ini boleh ‘dibikin balik’,” ujarnya.

Menghampiri tiga hari terakhir sebelum hari pengundian, beliau menekankan bahawa jentera kini perlu bergerak pada tahap maksimum.

“Kita kena masuk full gear untuk semua jentera…sama ada jentera bantuan atau jentera tempatan. Kita berusaha sehingga saat akhir, insya Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO