Ab Rauf Yakin Yakub Khan Pertahankan DUN Karambunai

SEPANGGAR, 26 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yakin calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Yakub Khan akan mempertahankan kerusi tersebut pada Sabtu ini.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, beliau yang mengetuai jentera negeri berjumlah lebih dua ratus orang turun membantu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Yakub dan begitu juga di DUN Darau.

“Beliau istiqamah dalam perjuangan, walaupun pernah ditawarkan menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah tetapi beliau tidak berundur selangkah, pertahankan UMNO sehingga ke titisan perjuangan terakhir.

“Kita sama-sama bekerja untuk pastikan Datuk Yaakob akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) buat kali kedua,” katanya ketika berucap di ceramah rapat umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Indah Permai, di sini malam tadi.

Hadir sama Yakub yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan beberapa ADUN dari negeri Melaka.

Terdahulu pada sebelah siang, Ab Rauf mengadakan lawatan penuh ke PDM Karambunai bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini serta gerak kerja BN di lapangan.

“Saya menghargai segala sokongan, semangat dan kehadiran semua jentera parti membuktikan solidariti kita membantu kemenangan Datuk Yakub Khan, calon no1 Barisan Nasional.

“Bersama Barisan Nasional, saya percaya Karambunai akan terus meraih pembangunan dan kemajuan bersama. Terima kasih di atas sambutan hangat yang diberikan,” katanya.

Manakala sebelumnya itu, Ab Rauf bersama Yakub menyantuni dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi awal di Pusat Mengundi TLDM Kota Kinabalu, di sini.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi di mana tempoh berkempen yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov.

Semalam, berlangsung hari undi awal kepada 24,426 pengundi awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO