Yakub Khan Syukur Proses Undi Awal DUN Sepanggar Berjalan Lancar

SEPANGGAR, 25 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Yakub Khan bersyukur proses pengundian awal di kawasan tersebut telah berlangsung dengan baik dan lancar.

Beliau yang ditemui selepas membuat tinjauan di pusat pembuangan undi di Pangkalan TLDM di sini berkata kadar keluar mengundi sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) amat memberangsangkan.

“Menurut laporan petugas SPR ada saluran yang sudah hampir 100 peratus keluar mengundi,” katanya.

Selanjutnya, Yakub menyeru semua pengundi agar jangan lupa tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.

Untuk rekod, sebanyak 58 pusat pengundian awal bagi PRN dibuka serentak tepat pada 8 pagi tadi, membuka ruang kepada 24,426 pengundi awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,697 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan manakala 12,729 lagi merupakan anggota polis serta pasangan.

SPR memaklumkan sehingga jam 3 petang tadi, peratusan keluar mengundi bagi Undi Awal adalah sebanyak 91.09 peratus.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi di mana tempoh berkempen yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28 November ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO