PRN Sabah: Gelombang Sokongan Beralih… Ahli Warisan Tinggalkan Parti, Pilih BN
SEPANGGAR, 25 Nov – Gelombang sokongan kepada Barisan Nasional (BN) terus meningkat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila lebih 30 orang ahli Parti Warisan di Kampung Lepasan hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai arus sokongan kepada BN.
Kumpulan tersebut diketuai oleh Haji Wahab Insan, yang bersama ahli lain menyatakan keputusan itu dibuat selepas menilai prestasi serta keupayaan BN dalam membela rakyat Sabah.

“Dengan rela hati, kami sebagai ahli Warisan memilih untuk menyokong BN kerana inilah parti yang boleh dikatakan paling banyak membantu rakyat Sabah sejak sekian lama. Kami yakin hanya BN mampu membawa kestabilan dan pembangunan yang lebih baik untuk negeri ini,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk setempat supaya keluar mengundi pada 29 November dan memberikan sokongan padu kepada BN.
“Kami memohon agar semua pengundi turun mengundi dan memberi kepercayaan kepada BN demi masa depan kampung dan kawasan kita,” tambahnya.
Majlis berkenaan turut disertai oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap rekod khidmat BN di Sabah.
Turut hadir ialah Calon BN bagi DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan, yang menzahirkan penghargaan kepada kumpulan tersebut atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan komitmen beliau untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan Karambunai sekiranya diberikan mandat. – UMNO Online
